Surat rasmi sahkan Yaakob tidak bankrap

Imej surat daripada Jabatan Insolvensi yang dipaparkan di laman Facebook Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: PKR hari ini mempersoalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan pencalonan ahli PPBM atas alasan bankrap walaupun surat daripada Jabatan Insolvensi menunjukkan sebaliknya.

Imej surat bertarikh 27 April 2018 itu dipaparkan di laman Facebook rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia menyebut bahawa Yaakob Osman, ketua PPBM Nibong Tebal, tidak bankrap.

“Pelik tapi bukan luar biasa di bawah kerajaan Umno/BN” kata laman Facebook itu.

Semalam Yaakob dibatalkan pencalonannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga, Pulau Pinang, sementara di Johor, calon PPBM bagi kerusi Bukit Pasir, Pizi Jihat, turut dibatalkan atas sebab sama.

Pizi juga berkata, beliau telah memeriksa status solvensinya dan disahkan bukan seorang bankrap. Bagaimanapun pegawai pengurus pilihan raya SPR berkata carian badan itu menunjukkan sebaliknya.