Tiada rancangan sertai PKR, kata calon bebas Batu

Penuntut undang-undang ini bertanding sebagai calon bebas kerana mahu menjadi suara anak muda.

PETALING JAYA: Calon bebas di Parlimen Batu, P Prabakaran tiada rancangan untuk menyertai mana-mana parti politik susulan cadangan kepada PKR agar menyokong salah seorang calon bebas selepas pencalonan Tian Chua ditolak.

Calon paling muda dalam pilihan raya kali ini berkata belum ada pihak menghubunginya tentang perkara itu.

“Jika mereka hubungi, saya akan beritahu bahawa saya perlu bercakap dengan jawatankuasa dan penasihat saya terlebih dulu.”

“Kami sama-sama dalam hal ini,” katanya kepada FMT.

Beliau memilih menjadi calon bebas kerana mahu menjadi suara orang muda.

Pelajar undang-undang itu mengulas kenyataan penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff yang mencadangkan PKR memilih seorang daripada 2 calon bebas di situ untuk mewakili parti itu selepas penyandang, Tian Chua, tidak boleh mempertahankan kerusi itu.

Terdahulu, Tian Chua berkata PKR sedang mengkaji pilihan yang ada tetapi belum membuat sebarang keputusan.

Wakil rakyat 2 penggal itu menang dengan majoriti 13,000 undi pada 2013.

Pencalonannya ditolak kerana dia didenda RM2,000 kerana menghina seorang anggota polis.

Denda dikurangkan kepada RM2,000 selepas dia merayu ke Mahkamah Tinggi. Perlembagaan Persekutuan melucutkan kelayakan bertanding mereka yang didenda lebih daripada RM2,000.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata keputusan untuk menolak atau menerima pencalonan terletak pada budi bicara pegawai pengurus pilihan raya di pusat penamaan.

“Tian Chua boleh menyerahkan petisyen ke mahkamah dan mahkamah akan buat keputusan. Kita akan patuh perintah mahkamah.”

Naib Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau, Azhar Yahya dari PAS, Prabakaran dan VM Panjamothy akan berentap di kerusi itu.