Wee kata ahli tanding bebas, parti lawan cuma ‘macai’

Wee Ka Siong (tengah) menunjukkan gambar yang dipamerkan oleh papan iklan pembangkang.

YONG PENG: MCA hari ini berkata 12 individu yang dipecat kerana mencalonkan diri sebagai calon bebas, calon parti lawan dan menyokong pencalonan-pencalonan itu cuma ‘macai’ dan bukan masalah besar bagi parti itu.

Timbalan Presiden Datuk Seri Wee Ka Siong mengingatkan MCA mempunyai lebih 1 juta ahli dan pemecatan 12 orang itu tidak meninggalkan kesan.

“Kita tidak perlukan mereka. Ada juga yang baru beberapa bulan sertai MCA mahu jadi calon,” katanya pada sidang media di Bangunan MCA Ayer Hitam hari ini.

“DAP lebih teruk singkirkan 2 tokoh hebat iaitu Dr Tan Seng Giaw dan Dr Boo Cheng Hau. Mereka punya masalah 1,000 kali ganda teruk,” katanya.

Berkuat kuasa hari ini, MCA memecat Kim Yak Hong dan Ting Choon Chai dari MCA Tebrau, Tee Boon Tsong dan Ng Yak Howe dari MCA Pulai dan Bakri, Chin Kwai Heng dan Chin Kwai Leong dari MCA Batu Gajah dan Yeo Keng Chuan dari MCA Bukit Mertajam, serta penyokong dan pencadang dan saksi pencalonan mereka.

Papan iklan wajah garang

Sementara itu, Wee turut menyelar tindakan pembangkang menaikkan papan iklan di Yong Peng, Johor yang tertera gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Calon BN di Parlimen Ayer Hitam itu mendakwa pembangkang mempunyai muslihat terancang untuk mengelirukan rakyat dengan memaparkan wajahnya yang garang.

“Ini hanya nak rosakkan imej saya dengan memaparkan gambar muka garang dan tidak begitu mesra. Ini ada muslihat dan niat tidak baik.

“Liew Ching Tong (calon DAP Ayer Hitam) kata mahu ‘gentleman’ tetapi mana nilai murni dan budaya bersih yang ditonjolkan,” katanya.

Sebuah papan iklan di Yong Peng, Johor yang tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, diturunkan penguasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas diconteng seorang lelaki.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mengakui Pakatan Harapan (PH) menaikkan papan iklan yang turut mengandungi gambar calon BN di Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong dan tulisan “Undi Wee Ka Siong = Undi Najib dan Rosmah”.

Video selama 1 minit itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian biru yang tertera perkataan “Harapan” dan logo PKR memanjat tangga untuk menyembur muka dan nama Rosmah dengan cat merah.

Wee berkata penguasa SPR mendapat aduan dan membuat keputusan untuk menurunkan papan tanda itu. Lagipun, katanya, papan iklan seperti itu menyalahi Seksyen 4A(1) Akta Pilihan Raya.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman bagi kesalahan mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan untuk mendorong pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi untuk mendapatkan mana-mana orang dipilih.

“Ini budaya tidak baik dan tidak patut diamalkan,” katanya.