Arul Kanda puji Nurul Izzah tak buat serangan peribadi

Arul Kanda menggesa ahli pembangkang dan pengkritik belajar daripada Nurul Izzah cara betul untuk memberi komen. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mahu pemimpin pembangkang belajar daripada Nurul Izzah Anwar cara mengelak melakukan serangan peribadi.

Arul yang juga ketua pegawai eksekutif 1MDB, berkata naib presiden PKR itu “cuba sebaik mungkin” untuk membuat komen berdasarkan fakta, dasar dan pendapat, bukannya menyasarkan individu atau personaliti.

“Saya percaya ini cara betul bagi mana-mana ahli pembangkang atau pengkritik,” katanya dalam wawancara bersama Asian Correspondent.

“Apabila menyerang sesuatu isu, kekal kepada isu atau fakta. Kemukakannya secara rasional, tenang dan cara yang pasti. Jangan membuatnya isu peribadi. Belajar daripada Nurul.”

Ini menyusul beberapa hari selepas Arul Kanda menggesa ahli politik tidak mempolitikkan isu berkaitan 1MDB menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, parti politik harus berdebat berdasarkan fakta atau dasar, bukannya membuat serangan peribadi.

“Contohnya, apabila PAS mempunyai persoalan berkaitan 1MDB, mereka mengundang saya untuk memberi penjelasan.”

Bagaimanapun, beliau mengkritik ahli politik DAP yang digelarnya “bodoh”, “dungu” dan “penipu”.

“Saya sedih dengan cara berpolitik begini.”

Arul Kanda yang memulakan sesi penjelasan seluruh negara mengenai isu 1MDB menjelang hari pengundian, berkata dana pelaburan itu ialah “isu perniagaan yang bertukar menjadi isu politik dan kemudiannya menjadi isu geopolitik”.

Sambil menyifatkan pelantikannya dalam 1MDB pada 2015 sebagai “jawatan yang semuaorang tidak mahu”, katanya, kerajaan membuat keputusan betul dengan melaksanakan pelan rasionalisasi.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/04/27/jho-low-dan-1mdb-tiada-kaitan-kata-arul-kanda/