Calon Orang Asli Gua Musang terkejut Cina sokong PH

Nasir (berbaju merah) ketika menyatuni penduduk sekitar DUN Galas.

GUA MUSANG: Calon Orang Asli mewakili PKR bagi kerusi DUN Galas di Parlimen Gua Musang mengaku terkejut dengan sokongan luar biasa yang diberikan masyarakat Cina kepadanya.

Nasir Dollah berkata sejak 2 hari beliau menjadi calon PKR untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14), majoriti pengundi Cina di situ menyatakan sokongan penuh kepadanya walaupun berbeza keturunan.

“Bila saya bersama jentera parti masuk ke kawasan orang Cina, sambutannya luar biasa dan kebanyakan mereka berkata saya tidak perlu berkempen sebab mereka sokong saya dan mahu tukar kerajaan sedia ada,” katanya kepada FMT.

Nasir bagaimanapun menyedari tidak semua Orang Asli di situ menyokongnya, walaupun yakin lebih 50% akan bersamanya.

“Pengundi Orang Asli terbahagi 2, iaitu menyokong dan tidak menyokong. Daripada reaksi yang saya lihat, ramai orang di sini melihat pencalonan saya sebagai satu sejarah kerana ini kali pertama Orang Asli di Kelantan diletakkan sebagai wakil ke DUN.

“Mudah-mudahan ia memberi kelebihan kepada saya untuk disokong oleh keturunan sendiri,” katanya, sambil mengatakan kemenangan BN di Gua Musang selama ini adalah hasil sokongan masyarakat Orang Asli.

Berhubung sokongan pengundi Melayu pula, Nasir berkata beliau belum sempat turun ke lapangan untuk menemui mereka, walaupun percaya beliau tidak akan berhadapan masalah dengan kelompok pengundi majoriti itu kerana sudah biasa dengan orang Melayu.

Nasir bakal berdepan calon muka baharu BN, Mohd Syahbuddin Hashim dan wakil PAS, Suhaimi Mat Deris dalam ilihan raya 9 Mei depan.

Dalam PRU 2013, calon BN Ab Aziz Yusoff memenangi DUN Galas menewaskan calon PAS, Abdullah Hussin dengan majoriti 1,301 undi.

Gua Musang merupakan kubu kuat BN yang diterajui veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li.

Beliau menang di kerusi ini sejak 1986 dan sebelum itu Ulu Kelantan bermula 1974. Pada PRU kali ini, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi ini mewakili BN menghadapi calon PKR, Mohd Nor Hussin dan calon PAS, Abdullah Hussein.