Calon tunggal MCA mahu perkasa golongan muda, veteran di DUN Kelantan

Chua Hock Kuan mencadangkan sebuah kompleks tertutup khusus bagi kedua-dua golongan itu melakukan pelbagai aktiviti berkaitan sukan mahupun kebudayaan. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Pemerkasaan golongan muda dan veteran menjadi visi utama calon tunggal MCA mewakili BN Kelantan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Chua Hock Kuan berkata beliau mencadangkan sebuah kompleks tertutup khusus bagi kedua-dua golongan itu melakukan pelbagai aktiviti berkaitan sukan mahupun kebudayaan jika diberi mandat oleh pengundi.

“Di situ, golongan muda, terutama pelajar sekolah dan mahasiswa boleh melakukan pelbagai aktiviti sukan. Saya sendiri akan menekankan lebih banyak program sukan untuk mereka.

“Bagi golongan veteran, mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti senaman dan kebudayaan,” katanya ketika mengadakan pertemuan berkelompok dengan masyarakat Cina di Kampung Limau Manis, malam tadi.

Calon muda berusia 38 tahun itu berkata beliau akan bertemu seramai mungkin pengundi bagi memperkenalkan dirinya sebagai calon MCA untuk kerusi itu.

“Saya mula mendekati mereka sejak 2016 selepas dihantar oleh MCA bagi membantu kawasan ini. Tempoh berkempen selama 11 hari merupakan ulang kaji kerana kebanyakan mereka telah mengenali saya.

“Saya tidak menggunakan pendekatan menyerang calon lain cuma membangkitkan beberapa isu perbandaran berkaitan masalah sampah, aliran longkang yang tersumbat dan beberapa perkara lain,” katanya.

Pengerusi Biro Sukan Pemuda MCA Kebangsaan itu berkata beliau memulakan harinya seawal pukul 8 pagi untuk ‘menjelajah’ ke segenap ceruk DUN tersebut.

“Selalunya saya akan bertemu pengundi di kedai kopi pada pukul 8 pagi sebelum melawat pesakit kronik dan rumah yang kita baiki sebelum ini serta ceramah kelompok.

“Menerusi gerak kerja sebegini, saya yakin penerimaan dan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA semakin bertambah dari hari ke hari,” katanya.

Pada PRU14 9 Mei ini, DUN Kota Lama menyaksikan pertandingan 5 penjuru antara Chua, penyandang Datuk Anuar Tan Abdullah (PAS), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman (PKR-PPBM), Khairul Nizam Abd Ghani (PSM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).