PPBM: Tutup bilik operasi Tendong ibarat sokong parti lawan

Nasib pemimpin PPBM di Pasir Mas dan DUN Tendong yang menutup bilik operasi ini akan ditentukan selepas PRU14.

KOTA BHARU: PPBM Kelantan menganggap tindakan sekumpulan ahlinya menutup bilik operasi di DUN Tendong sama dengan menyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS.

“Mereka yang tutup bilik operasi di Tendong, jelas mereka nak tolong parti lawan kita, tindakan berkecuali mereka juga bermakna sokong BN dan sokong lawan PH,” kata Pengerusi PPBM Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor kepada FMT.

Pakatan Harapan (PH) di DUN Tendong menutup bilik operasi utama kerana berang dengan pucuk pimpinan negeri tidak menghormati 3 calon tempatan yang dicadangkan ketua bahagian, sebaliknya mencalonkan Wan Zulkhairi Wan Mad Zain yang bukannya anak tempatan.

Timbalan Ketua PPBM Pasir Mas, Samsudin Samad dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan mambantu calon PBBM Tendong atau mengerakkan jentera kempen.

Kamarudin berkata, pimpinan parti negeri dan pusat memilih Wan Zulkhairi berdasarkan kajian serta permintaan akar umbi.

“Wan Zulkhairi dipilih berdasarkan kajian yang dibuat di peringkat bawah oleh pimpinan, tidak semestinya semua calon dipilih atas cadangan ketua bahagian. Tidak semua, ada kawasan dipilih ketua bahagian, ada yang tidak terus dipilih pimpinan negeri dan pusat.

“Soal tak puas hati ini boleh dikatakan semua parti ada masalah sama, jadi ini tidak memeranjatkan dan menghairankan. Kalau mereka tak puas hati dan mengambil tindakan sedemikian, mereka sebenar ahli parti yang tidak setia.”

Beliau berkata, tindakan akar umbi PPBM itu tidak memberi kesan kepada PH untuk merampas kerusi Tendong daripada PAS.

“Kita dah buat kajian dan hasil kajian kita menunjukkan kedudukan kita masih baik dan peluang kita masih ada.”

Katanya, nasib pemimpin PPBM itu akan ditentukan selepas pilihan raya umum ke-14.

“Kita akan putuskan selepas pilihan raya, sekarang ini kita fokus buat kerja untuk menangkan parti.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

 

Bantah calon PPBM, bilik operasi PH Tendong ditutup