Saya perlu pertahan 1 Parlimen, 4 DUN di Rasah, kata calon DAP

Calon DAP di Rasah, Cha Kee Chin (tengah) pertandingan 4 penjuru di kerusi Parlimen itu akan menyebabkan perpecahan undi pembangkang.

SEREMBAN: Calon DAP yang bertanding di Rasah, Cha Kee Chin berkata beliau dalam misi mempertahankan kerusi Parlimen itu dan 4 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya, serta perlu merampas kerusi negeri Labu daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, itu adalah Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Pakatan Harapan (PH) kepadanya.

“Saya mengetuai PH di Rasah, tanggungjawab saya bukan sahaja mempertahankan kerusi Parlimen Rasah, tetapi keempat-empat (DUN) yang telah dimenangi dipertahankan dan juga menawan (DUN) Labu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Negeri Sembilan hari ini.

Pada 2013, DAP memenangi kerusi Parlimen Rasah dan 4 kerusi DUN di bawahnya, iaitu Bukit Kepayang, Rahang, Mambau dan Senawang.

Sebuah lagi kerusi negeri, iaitu Labu diberikan kepada PAS yang ketika itu bersama Pakatan Rakyat.

Calon PAS ketika itu, Mohd Khairil Anuar Wafa bagaimanapun kalah kepada calon BN, Datuk Hasim Rusdi dengan majoriti 1,511 undi.

Pada 9 Mei ini, kerusi Parlimen Rasah menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan Cha (DAP), Ng Kian Nam (BN), Khairil Anuar (PAS) dan David Dass (Parti Alternatif Rakyat).

Sementara itu, Cha berkata, pertandingan 4 penjuru di Rasah akan menyebabkan perpecahan undi pembangkang.

“Empat penjuru ini biasanya akan (menyebabkan) undi pembangkang itu berpecah kepada calon yang berbeza.

“Jadi, ianya satu pertandingan yang sengit, memerlukan usaha bersungguh-sungguh dalam 11 hari ini.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14