Undi pecah bukan saja beri kesan kepada PH, kata pemerhati

Perdana Menteri Najib Razak diramal menang lagi, tetapi mustahil akan mendapat majoriti 2/3 yang hilang sejak 2008. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum Mei 9 ini menyaksikan lebih banyak pertandingan banyak penjuru yang bukan sahaja boleh merugikan pembangkang, tetapi juga menyempitkan peluang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan balik majoriti dua pertiga di Parlimen.

Hanya 30 daripada 222 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kali ini merupakan persaingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dengan calon pembangkang.

Kebanyakan yang lain adalah pertandingan banyak penjuru, antaranya hingga 4 calon, malah ada kerusi yang menyaksikan persaingan 6 penjuru.

Keputusan PAS untuk bertanding sendirian di lebih banyak kerusi dalam PRU kali ini akan menyebabkan undi orang Melayu pecah dan menyukarkan PH memenangi undi kelompok pengundi itu. Tetapi pada waktu sama, ia juga boleh melemahkan sokongan orang Melayu kepada calon BN pimpinan Najib.

“Besar kemungkinan, undi orang Melayu akan pecah dan melemahkan sokongan kepada kedua-dua BN dan PH,” kata Johan Saravanamuthu, felo kanan di S Rajaratnam School of International Studies, Singapura.

“BN tidak akan mendapat majoriti dua pertiga. Saya berani bertaruh reputasi saya atas kenyataan itu,” katanya ketika dihubungi.

“BN berkuasa sudah terlalu lama dan walaupun ia berkemungkinan lebih berjaya daripada pembangkang dalam PRU ini, sentimen anti-BN juga meluas”, katanya.

Umno pimpinan Najib – komponen utama BN – mahu melanjutkan kuasa 6 dekadnya sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, tetapi gabungan itu menang dengan majoriti paling kecil pada pilihan raya 2013 lepas. Ia juga hilang undi popular dan terlepas majoriti dua pertiga di Parlimen sejak 2008.

Sejak 2013, Najib bekerja keras untuk memenangi semula sokongan pengundi Melayu, antara lain dengan menambah bantuan tunai kepada petani, pegawai awam dan golongan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, barisan pembangkang, yang terdiri daripada kumpulan dan parti yang pelbagai dan rencam, menderitai pukulan besar dengan keluarnya PAS daripada pakatan itu, sementara pemimpin utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih merengkok dalam penjara. Kini bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengepalai PH dalam pilihan raya ini sebagai calon perdana menteri mereka.

Umno berhadapan rasa tidak puas hati berkaitan kenaikan kos hidup, termasuk di kawasan luar bandar, yang selama ini menjadi kubu kuat parti itu, sementara Dr Mahathir pula menggambarkan dirinya sebagai pembela orang Melayu bawahan. Beliau juga meningkatkan tekanan ke atas Najib berhubung skandal pengurusan kewangan dana pelaburan negara 1MDB yang sudah memakan tempoh beberapa tahun.

Dalam temubual minggu lepas, Najib, yang menyatakan keyakinan memperoleh keputusan lebih baik berbanding PRU 2013, bakal berhadapan pertandingan 4 penjuru di kerusi Parlimen Pekan yang diwakilinya sejak 1976. Beliau menghadapi calon daripada PH, PAS dan seorang calon bebas.

Sementara itu, Dr Mahathir pula dicabar calon PAS dan BN di kerusi Parlimen Langkawi, Kedah.

Najib dan Dr Mahathir dijangka menang di kerusi masing-masing, dengan PH berkemungkinan besar memenangi antara 6 ke 8 kerusi lain di Kedah hasil “kesan Mahathir”, kata penganalisis politik, Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia.

“Tidak kira siapa menang atau kalah, secara umumnya kemunculan ramai calon muka baru dan parti baru menunjukkan demokrasi segar di Malaysia,” katanya. “Orang ramai tampak lebih berminat untuk mengundi dan masa depan negara ini.”

Para penganalisis masih lagi menganggarkan sama ada BN akan memenangi lebih 50% daripada kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan baru. Eurasia Group meramalkan peluang BN menang ialah 80%, walaupun pada waktu sama menjangka gabungan itu tidak akan mendapat majoriti dua pertiga.

Masih tidak kelihatan akan berlakunya “tsunami Melayu” yang diwarwarkan oleh Dr Mahathir akan membantu kemenangan PH, kata Pengarah Eurasia Wilayah Asia, Peter Mumford.

Pada masa sama, beliau berkata sokongan orang Melayu kepada Umno-BN jatuh 8% di Semenanjung Malaysia sejak 2013.

“Kerajaan Najib yang lebih lemah akan kehilangan modal politik untuk meneruskan langkah pengukuhan fiskal selepas pilihan raya ini, walaupun beliau tidak akan bertindak memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak popular itu,” kata Mumford.

“Keputusan lebih buruk juga akan memaksa Najib menyediakan pengganti beliau untuk pilihan raya umum akan datang,” tambah beliau.