Wan Azizah: Penyertaan Nik Omar bukan tiket mudah menang

Datin Seri Wan Azizah berkata Nik Omar memang berpengaruh tetapi itu bukan bermakna tidak perlu bekerja keras.

BUKIT MERTAJAM: Penyertaan Nik Omar, anak ke-2 bekas mursyidul am PAS, arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam Pakatan Harapan bukanlah tiket mudah untuk menang.

Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata dengan adanya Nik Omar dalam PH, ia mampu mengukuhkan sokongan rakyat, tetapi tiada yang pasti dalam politik.

“Beliau memang mempunyai pengaruh tetapi itu bukan bermakna kita tidak perlu bekerja keras,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Nik Omar membuat kejutan pada hari penamaan calon di Kelantan apabila muncul mengemukakan borang pencalonannya untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka sebagai calon Amanah, menggunakan logo PKR.

Kerusi DUN Chempaka adalah kubu kuat PAS yang pernah disandang bekas menteri besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat, sejak pilihan raya umum ke-9 pada 1995.

Dalam perkembangan lain, PAS memecat Nik Omar daripada parti berikutan keputusannya bertanding sebagai calon Pakatan Harapan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata parti itu mempunyai “Pelan B” jika proses pengadilan Tian Chua tidak berjalan lancar.

“Sudah tentu kami mempunyai penyelesaian alternatif untuk Parlimen Batu. Kami ada strategi kami,” katanya.

Pada hari penamaan calon, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Anwar Mohd Zain mengumumkan Tian Chua tidak layak bertanding untuk kerusi Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan kerana denda RM2,000 yang pernah dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Tian Chua yang juga penyandang kerusi parlimen itu memulakan saman pemula terhadap Anwar dan Suruhanjaya Pilihan Raya di Mahkamah Duta hari ini.