Wee cabar DAP tunjuk bukti BN ditaja jutaan ringgit

Wee Ka Siong (depan, dua dari kiri) berkata, dakwaan BN ditaja ahli perniagaan itu pertama kali dihadapinya sepanjang bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam sejak 3 penggal lalu.

YONG PENG: Datuk Seri Wee Ka Siong mencabar Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan seorang ahli perniagaan menaja Barisan Nasional (BN) jutaan ringgit.

Timbalan presiden MCA itu berkata, jika Liew gagal mengemukakan bukti itu, maka beliau perlu memohon maaf secara terbuka.

“Ini dakwaan mengarut dan tindakan tidak bertanggungjawab daripada Liew,” katanya pada sidang media di bilik gerakan BN cawangan Yong Peng hari ini.

Wee yang juga calon BN di Ayer Hitam berkata, dakwaan itu pertama kali dihadapinya sepanjang bertanding di kerusi Parlimen itu sejak 3 penggal lalu.

“Kalau anak jantan tunjuk sifat kejantanan. Saya juga tidak ada hak untuk menyekat mana-mana pihak hadir ke ceramah umum saya.

“Takkan saya nak periksa seorang-seorang yang hadir dalam ceramah saya memiliki kekayaan macam mana? Ini tuduhan tak berasas,” katanya.

Semalam, Liew menerusi sidang media mendakwa seorang ahli perniagaan di Johor menyumbang berjuta ringgit kepada BN bagi memastikan beliau kalah di kawasan yang ditandinginya.

Calon DAP di Ayer Hitam itu berkata, beliau difahamkan ahli perniagaan itu membantu BN di Ayer Hitam, Labis dan Sembrong.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14