Arul Kanda ‘simpati’ Zaid dipinggirkan DAP

KOTA BHARU: Arul Kanda Kandasamy berkata tindakan Datuk Zaid Ibrahim mengarahkan peguamnya di Australia mengambil kes terhadap ANZ Bank kononnya bagi mendapatkan semula RM2.6 bilion yang didakwa diseleweng daripada dana syarikat 1MDB adalah untuk cuba mencari publisiti murahan.

Ketua pegawai eksekutif 1MDB itu berkata ia juga mungkin akibat kecewa kerana DAP tidak meletakkannya sebagai calon pada pilihan raya kali ini.

“Saya sebenarnya bersimpati dengan Zaid sebab saya tahu beliau kecewa kerana beliau ahli politik yang tidak berjaya dan dijanjikan untuk dapat kerusi (bertanding pada PRU14).

“Tapi malangnya, DAP mengutamakan calon Cina, jadi pada pendapat saya dia hanya hendak buat publisiti. Saman beliau dah banyak kali dikemukakan termasuk berkaitan 1MDB dan beberapa kali juga ditolak,” katanya selepas program Barisan Nasional (BN) di Kota Bharu di Pintu Geng semalam, yang turut dihadiri Ketua Umno Kota Bharu Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.

Zaid dilaporkan berkata peguamnya di Australia bersetuju mengambil kes terhadap ANZ Bank bagi mendapatkan semula RM2.6 bilion yang didakwanya diseleweng daripada dana 1MDB meskipun pihak berkuasa Malaysia menegaskan sebaliknya.

Menerusi blog pada 23 April lalu, Zaid berkata beliau ke Sydney untuk mengarahkan peguamcara Levitt Robinson meninjau kemungkinan mendakwa ANZ Bank.