BN bidas pengerusi PKR Kelantan tak matang arah ahli boikot undi

Mustapa Mohamed (kiri) berharap jumlah kertas undi rosak kali ini berkurangan.

KOTA BHARU: Datuk Seri Mustapa Mohamed membidas pengerusi PKR Kelantan tidak matang kerana mengarahkan ahlinya mengambil sikap berkecuali atau merosakkan undi di kerusi negeri Tawang dan Kuala Balah sebagai membantah pencalonan PKR ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan itu merujuk arahan Ab Aziz Ab Kadir supaya ahlinya tidak mengundi atau merosakkan undi di kerusi negeri Kuala Balah dan Tawang pada 9 Mei ini untuk membantah tindakan SPR menolak calon PKR dan mengelakkan mengelakkan ahlinya mengundi BN dan PAS.

“Kita harap bilangan kertas undi rosak kali ini berkurangan.

“Bila banyak kertas undi rosak, ia mencerminkan kita tidak ada pendirian. Saya gesa seluruh rakyat tetap pendirian mengundi BN,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Sabtu lalu, SPR menolak pencalonan wakil PKR di DUN Kuala Balah, Mohd Hafidz Rizal Amran atas alasan muflis, manakala calon PKR di DUN Tawang, Mohd Azihan Che Seman hilang kelayakan kerana alamat dalam kad pengenalannya bukan dalam kawasan DUN Kelantan itu.

BN Kelantan sasar menang 8 kerusi Parlimen

Sementara itu, Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, BN Kelantan menyasarkan untuk memenangi 8 kerusi Parlimen pada 9 Mei ini.

“Kita ada 8 kawasan tumpuan, termasuk 5 yang kita dah menang – Jeli, Gua Musang, Tanah Merah, Machang dan Ketereh itu kita yakin kita boleh pertahankan.

“Sekarang kita ada 3 kerusi sasaran kita, iaitu Pasir Puteh, Bachok dan Kuala Krai. Dalam 3 kerusi ini, ada lagi perkara yang kita perlu tambah baik kerana kerja belum selesai.”

Katanya, keyakinan itu berdasarkan barisan calon BN yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Calon kita dibarisi pemimpin yang eksklusif, ada pemimpin muda, veteran, wanita, pegawai kanan dan pendidik. Ini satu perkara saya rasa memainkan peranan menyentuh hati rakyat Kelantan,” katanya sambil mengakui ada kelemahan dalam kerajaan negeri pimpinan PAS yang perlu diperbaiki.

BN mempertaruhkan Datuk Awang Adek Hussin untuk berdepan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan calon PH, Mohd Zulkifli Zakaria di Parlimen Bachok.

Di Pasir Puteh, BN menurunkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menentang Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhamad Zawawi Nik Salleh dan Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md Nor.

Bagi Parlimen Kuala Krai, BN meletakkan Ramzi Ab Rahman untuk mencabar calon PAS, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Yazid Abdullah yang mewakili PH.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14