BN janji universiti, rumah mampu milik untuk rakyat di Ledang

Menurut Datuk Hamim Samuri, 90% manifesto itu mendapat lampu hijau daripada kementerian berkaitan dan restu daripada BN Johor. (Gambar Facebook)

MUAR: Mewujudkan universiti awam, membina 1,000 rumah mampu milik dan menaik taraf Hospital Tangkak adalah antara tawaran dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Ledang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Ledang merangkap calon Parlimen kawasan itu, Datuk Hamim Samuri berkata perkara tersebut terkandung dalam manifesto yang memfokuskan 5 perkara iaitu ekonomi sejahtera, infrastuktur dan kemudahan awam, pendidikan, keselamatan dan agama.

“Saya boleh katakan 90% manifesto itu mendapat lampu hijau daripada kementerian berkaitan dan restu daripada BN Johor. Kita doa BN menang dan terus diberi mandat supaya semua perkara dalam manifesto ini dapat dilaksanakan,” katanya selepas melancarkan Manifesto BN Ledang hari ini.

Turut hadir, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Goh Tee Tee, calon DUN Gambir Datuk M Asojan dan calon DUN Serom Datuk Rahim Talib serta kira-kira 1,000 jentera BN parlimen berkenaan.

Tawaran lain terdapat dalam manifesto itu adalah membuka tapak baru pasar tani, mewujudkan pusat hab halal serta mewujudkan pusat pengumpulan dan penjualan industri kecil dan sederhana (IKS) bawah ekonomi sejahtera.

Dalam bidang pendidikan pula, antaranya membina sebuah lagi sekolah berasrama penuh dalam parlimen itu, membina sebuah sekolah menengah kebangsaan di DUN Gambir dan menaik taraf infrastruktur bilik darjah sekolah di Tangkak menjadi bilik darjah Pendidikan Abad ke-21 (PAK21).

Di bawah fokus keselamatan pula, pondok polis cawangan Tangkak Jaya bakal diwujudkan, meningkatkan tahap penjagaan dan jaringan keselamatan penduduk serta menambah anggota polis di Parit Bunga.

Selain menaik taraf Hospital Tangkak kepada hospital kluster, di bawah infrastruktur dan kemudahan awam, turut diwujudkan poliklinik kesihatan, stadium mini dan laluan basikal serta membina semula Terminal Bas dan Teksi Tangkak.

Turut dicadangkan ialah menyegerakan pembinaan Pusat Pentadbiran Tangkak, menambah lampu jalan sepanjang jalan raya utama Tangkak-Bekoh dan kawasan kampung serta cadangan pembinaan Pusat Transformasi Luar Bandar atau Pusat Transformasi Bandar.

Sementara dalam bidang agama, lebih banyak sekolah agama bakal dibina, membaik pulih lebih banyak surau dan masjid serta memperluas Program Pendidikan Islam Digital kepada sekurang-kurangnya sebuah Sekolah Agama Kerajaan Johor seperti dilakukan di Kluang dan Johor Bharu.