Calon DAP Kluang fokus raih sokongan pengundi Melayu

Jika menang, Wong Shu Qi mahu menjadikan Liew Chin Tong sebagai mentornya yang bukan sahaja memperjuangkan isu tempatan, tetapi juga nasional di Dewan Rakyat.

KLUANG: Calon DAP di Kluang, Wong Shu Qi berkata cabaran utamanya untuk memenangi kerusi Parlimen itu ialah memastikan pengundi Melayu menerima dan menyokongnya pada 9 Mei ini.

“Sebenarnya bagi kempen pilihan raya umum ini, saya fokus kepada orang Melayu sebab saya faham mungkin ada yang belum mengenali saya lagi.

“Jadi, saya perlu memperkenalkan diri saya kepada orang Melayu di Kluang khususnya dan setakat tempoh berkempen ini, penerimaan terhadap saya positif.

“Saya pun hairan, tetapi apabila ditanya, mereka kata ada lihat aktiviti saya di Facebook saya dan media massa lain,” katanya kepada FMT.

Bekas wartawan dan setiausaha publisiti Johor sejak 2015 itu, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Senai pada 2013.

Wong berkata, walaupun ini kali pertama beliau bertanding di kerusi Parlimen Kluang, beliau yakin mampu menyaingi penyandang kerusi itu, Liew Chin Tong.

DAP merampas Parlimen Kluang daripada MCA pada 2013, apabila Liew menewaskan Datuk Seri Hou Kok Chung daripada MCA dengan majoriti 7,359 undi.

Kali ini, Liew yang juga pengerusi DAP Johor berpindah dari Kluang ke Parlimen Ayer Hitam dan berdepan Timbalan Presiden MCA yang menyandang kerusi itu selama 3 penggal, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Wong berkata, DAP memilihnya untuk bertanding di Kluang berdasarkan prestasi memberangsangkan sebagai adun Senai sejak 2013.

Beliau juga yakin boleh berkhidmat dengan baik di Kluang memandangkan beliau ialah anak tempatan.

“Bagi saya, banyak isu tempatan saya perolehi daripada rakan-rakan dan saudara-mara saya mengenai masalah di Kluang yang boleh saya baiki, jika menang nanti.”

Jika menang, beliau mahu menjadikan Liew sebagai mentor yang bukan sahaja memperjuangkan isu tempatan, tetapi juga nasional.

“Saya rasa isu nasional penting juga, tetapi akan membawa isu setempat di Dewan Rakyat seperti yang dilakukan Liew.”

Wong berkata, beliau sudah mengenal pasti cara untuk meningkatkan keadaan dan taraf hidup penduduk di Kluang.

Katanya, penyelenggaraan kemudahan asas sedia ada lebih penting daripada projek atau bangunan baru.

“Lihat seperti pasar awam di Kluang masih lengkap dan bagus, tetapi penyelenggaraan teruk dan masalah lalu lintas di Kluang.

“Jadi, ada banyak bangunan terbengkalai di Kluang yang boleh diperbaharui dan jika kerajaan persekutuan menawarkan insentif dan menggalakkan sektor swasta untuk meneruskan pembinaan bangunan terbengkalai ini, Kluang boleh dimajukan.”

Beliau juga berharap tsunami semua kaum akan berlaku pada pilihan raya umum ke-14.