Mat Sabu bimbang DNA PAS dalam Amanah

Mohamad Sabu berkata Amanah berpegang kepada cita-cita Fadzil Noor.

SHAH ALAM: Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengakui ada kemungkinan partinya akan menjadi seperti PAS, mengatakan ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana parti itu terdiri daripada bekas ahli-ahli PAS.

Pada satu temu bual bersama FMT semasa beliau berkempen di sini, ahli politik veteran itu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata terdapat kebimbangan parti berusia 3 tahun itu “dirampas” oleh mereka yang masih berpegang kepada cita-cita PAS.

“DNA PAS itu ada dalam Amanah. Tidak dapat nafikan,” kata Mat Sabu yang membentuk Amanah pada 2015 susulan pemilihan PAS pada 2015 yang menyaksikan parti itu diambil alih oleh pemimpin konservatif.

Katanya, Amanah berpegang kepada cita-cita politik bekas presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, yang mana bawah kepimpinannya PAS menjalin kerjasama dengan parti sekular termasuk DAP.

Katanya, bawah pimpinan Fadzil, PAS tumpu pada memenangi pilihan raya atas platform Islam progresif.

Mat Sabu berkata, ini berbeza dengan pemimpin PAS sekarang yang lebih berminat dengan moral peribadi ahli-ahlinya.

“Fadzil sedar, untuk menang, kita perlukan undi orang bukan Islam. Dengan kerangka pemikiran ini, beliau berjaya menjadi sebahagian daripada Barisan Alternatif dan membuktikan dirinya betul apabila PAS menang besar di Kedah pada pilihan raya 1999.”

Barisan Alternatif adalah gabungan piilihan raya yang menyatukan PAS, DAP, Parti Rakyat Malaysia dan Parti Keadilan Nasional, iaitu pelopor PKR.

Pada 1999, PAS memenangi 27 kerusi Parlimen, kemenangan paling besar dalam kalangan parti pembangkang.

Mat Sabu berkata, PAS kembali kepada “cara lama” selepas kematian Fadzil pada 2002, menumpukan pada “kesucian parti”.

Tambahnya, parti itu juga dipengaruhi kemunculan pemimpin-pemimpin muda dengan latar belakang pengajian agama dari universiti-universiti di Timur Tengah.

“Di Timur Tengah, tiada amalan demokrasi. Di Arab Saudi, Mesir, mereka tidak lihat demokrasi seperti di Eropah.

Katanya, bagi “ustaz-ustaz” muda ini, memenangi pilihan raya tidak sepenting menentukan akidah seseorang.

“Saya bimbang kalau tidak terkawal, (Amanah) boleh ke arah itu.”

Mat Sabu berkata antara 80,000 hingga 100,000 ahli Amanah dari PAS.

Tetapi, katanya, asas kuasa PAS dari kawasan pedalaman manakala Amanah pula banyak menarik penyokong bandar.

“Ia bergantung kepada pemimpin dan ahli penting dalam Amanah bagi memastikan Amanah tidak menjadi seperti PAS.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14