Mukhriz beri amaran kepada pegawai kanan kerajaan salah guna kuasa

Timbalan Presiden PPBM Mukhriz Mahathir semasa ceramah di Sik malam tadi. (Gambar Facebook)

 

SIK: Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberi amaran kepada pegawai kanan kerajaan supaya menjalankan tanggungjawab dengan berintegriti, merujuk beberapa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap parti pembangkang yang menurutnya menunjukkan salah guna kuasa untuk memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Timbalan presiden PPBM itu berkata perkara itu akan diingati kerajaan baru Pakatan Harapan (PH).

“Jika kami menang, kami ingat semua ketua jabatan yang buat celaru tu. Kami ingat. Jangan lupa, kerana tuan-tuan dan puan-puan melanggar peraturan jabatan sendiri, kami akan ambil tindakan,” kata bekas menteri besar Kedah itu dalam ceramah di Batu 5, malam tadi.

“Kita akan ingat, dan kita akan mengambil tindakan jika kita memenangi Putrajaya.”

Beliau merujuk tindakan SPR di Johor yang memotong gambar pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad di papan iklan bersama calon Ayer Hitam, Liew Chin Tong.

SPR sebelum ini mengeluarkan garis panduan baru yang hanya membenarkan penggunaan wajah presiden, timbalan presiden dan pengerusi negeri atau setaraf dalam poster pilihan raya parti bertanding.

Mukhriz bagaimanapun mempersoalkan poster Presiden MCA, Liow Tiong Lai berjabat tangan dengan pemimpin China, Xi Jinping di sekitar Johor yang tidak diturunkan.

“Adakah Xi Jinping bertanding dalam pilihan raya umum? Tidak. Jadi apa alasan BN untuk benarkan papan iklan begitu besar? Dan bukan sahaja dengan seorang yang tak berkenaan, seorang pemimpin China.

“Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun, kenapa benarkan Xi Jinping dan bukan Dr Mahathir. Orang yang tak berkenaan. Bukan orang Malaysia,” kata Mukhriz.

Calon Jerlun itu juga mengkritik langkah SPR membatalkan pencalonan naib presiden PKR, Tian Chua dan pakar bius, Dr S Streram, daripada bertanding di kerusi Parlimen Batu dan kerusi negeri Rantau.

“Streram datang ke pusat penamaan calon tetapi dia tidak dibenarkan masuk. Kenapa? Kerana dia tidak ada pas.

“Kenapa mereka sangat takut? Ini adalah kerusi menteri besar Negeri Sembilan,” katanya, merujuk kepada Datuk Seri Mohamad Hasan, yang memenangi kerusi itu tanpa bertanding.

“Takkan dia tergugat dengan calon PKR.”

Mukhriz juga memberi contoh kes calon PPBM iaitu Yaacob Osman dan Pizi Jihat, yang tidak layak bertanding di Penaga, Pulau Pinang, dan Bukit Pasir, Johor, dengan alasan mereka muflis.

“Ini terjadi pada hari penamaan calon, sehari sebelum ini, dia (Yaacob) tidak muflis, kami ada kertas untuk membuktikannya. Pada 27 April, dia tidak muflis, tetapi pada keesokan harinya jadi muflis.

“Ini sangat pelik, 2 orang ini dibatalkan pencalonan begitu saja. BN dah rasa tergugat, terjejas dengan kemaraan rakyat, jadi mereka cari cara untuk halang kemaraan rakyat dan halang PH daripada membentuk kerajaan.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14