Musa mahu BN amal semangat ‘onsoi’

Tan Sri Musa Aman berkata Datuk Seri Najib Razak juga tahu intipati perkataan onsoi untuk rakyat di pedalaman Sabah.

KENINGAU: Ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah digesa mengamalkan semangat “onsoi” untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman berkata slogan “onsoi” yang membawa maksud bagus dalam bahasa Murut ialah ungkapan yang mencerminkan semangat rakyat di pedalaman dan ia harus digunakan oleh ahli BN untuk mendapatkan kembali mandat.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang mengetahui dan memahami intipati perkataan onsoi untuk rakyat di pedalaman Sabah dan ia kini semakin popular di kalangan rakyat di Semenanjung Malaysia,” katanya kepada ahli jawatankuasa Umno Pensiangan yang bertemu dengan beliau hari ini.

Dalam pertemuan diketuai Datuk Abdul Ghani Yassin, beliau mengingatkan ahli BN untuk bekerjasama antara satu sama lain dan mengetepikan perbezaan antara mereka sambil mereka yang menjadi musuh dalam selimut atau “duri dalam daging” tidak ada tempat dalam BN.

“Semua anggota BN adalah sebahagian daripada satu keluarga besar yang kini mempunyai satu sasaran iaitu memenangi pilihan raya. Apa-apa tindakan diambil oleh ahli perlu berlandaskan semangat perpaduan untuk memenangi pilihan raya,” katanya.

Musa juga mengadakan pertemuan dengan presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup dan calon kerusi Sook Datuk Ellron Alfred Angin dan ahli jawatankuasa Umno Keningau yang diketuai oleh calon BN bagi Liawan Datuk Sairin Karno.