PAS adil kepada bukan Islam, kata ketua kelab penyokong PAS

N Balasubramaniam berkata, beliau menjadi presiden Dewan Himpunan Penyokong PAS selama 11 tahun dan ahli parti Islam itu sentiasa menghormati hak beragamanya.

PETALING JAYA: Pengundi India perlu menyokong calon PAS kerana parti Islam itu adil kepada orang bukan Islam, kata Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, N Balasubramaniam.

“Pemimpin PAS tidak fanatik seperti didakwa sesetengah orang. Saya menjadi presiden kelab selama 11 tahun dan mereka menghormati hak beragama saya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, 68 orang Cina dan 5 orang India dilantik sebagai pegawai perhubungan untuk berkhidmat kepada komuniti minoriti di Kelantan.

“Orang bukan Islam boleh bergantung kepada PAS kerana pemimpin dan pentadbiran mereka, terutamanya di Kelantan adalah bersih dan telus,” katanya.

Beliau menjawab kritikan dalam media sosial terhadap pekerja kempen calon India yang bertanding atas tiket PAS.

Komen negatif dilontar kepada pekerja itu kerana memakai baju PAS berwarna hijau dan memegang bendera parti berkenaan.

Balasubramaniam bertanding di kerusi Parlimen Bentong dalam pertarungan 3 penjuru menentang Datuk Seri Liow Tiong Lai daripada BN dan calon Pakatan Harapan, Wong Tack.

PAS turut meletakkan calon India di kerusi Parlimen Batu Kawan dan Kampar serta 12 lagi kerusi Dewan Undangan Negeri di Semenanjung.

Katanya, orang India tidak sepatutnya terpedaya dengan parti pembangkang lain kerana tindakan mereka bertujuan memancing undi komuniti itu yang penting di kerusi campuran.

Dalam kempennya, Balasubramaniam berkata, sokongan orang Melayu di Bentong sangat memberangsangkan.

“Saya kini berusaha menarik sokongan orang India,” katanya sambil menyuarakan harapannya untuk memberi prestasi baik, termasuk tidak hilang depositnya.

Bagaimanapun, katanya, PAS sukar mendapat sokongan pengundi Cina.

Tahun lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengakui berdepan kesukaran menarik sokongan orang bukan Islam, khasnya Cina, selepas menamatkan kerjasama politiknya dengan DAP dalam gabungan pembangkang.

Bentong mempunyai 67,514 pengundi dengan 46% ialah Melayu, 42% Cina, 9% India dan 3% Lain-lain.

Pada 2013, Liow mengalahkan Wong dengan majoriti tipis 379 undi dalam pertarungan satu lawan satu.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14