PAS: Berjaya batal 50 muka surat pendakwaan satu kemenangan moral

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah, baju merah) bersama pimpinan lain pada sidang media di Marang.

MARANG: Kejayaan dalam 5 permohonan interlokutori saman Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London disifatkan sebagai kemenangan moral apabila 50 daripada 55 muka surat pendakwaan dibatalkan.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Samsuri Mokhtar berkata keputusan itu dapat menyekat ruang fitnah yang dibuat pihak tertentu.

“Kemenangan awal di peringkat ini bolehlah disifatkan kemenangan moral yang akan merintis jalan yang lebih mudah ke arah kemenangan yang lebih besar nanti,” katanya pada sidang media di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Terdahulu, Samsuri dalam satu kenyataan berkata hakim di Mahkamah Tinggi London menolak keseluruhan pengakuan “kebenaran” (plea of truth) Clare dan menolak permohonan meminta mahkamah mengarahkan perbicaraan berasingan terhadap persoalan sama ada pembaca Sarawak Report memahami artikel berkaitan merujuk kepada Hadi.

Samsuri juga berkata Clare secara rasmi meninggalkan permohonan untuk meminda pembelaan “kebenaran” beliau bagi menggunakan rakaman audio yang didakwa dibuat oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, dan terpaksa meninggalkan cubaan menolak tuntutan Hadi berkaitan persoalan rujukan.

Menurut beliau lagi, mahkamah juga mengarahkan Clare membayar RM227,700 sebagai kos bayaran guaman Hadi dalam tempoh 14 hari.

Samsuri pada sidang media hari ini menarik perhatian kepada tindakan Clare menarik balik hasrat menggunakan rakaman suara yang dikaitkan dengan Nik Abduh yang mendakwa PAS menerima dana daripada Umno.

“Jadi tidak adalah benda itu,” katanya.

Peguam PAS Wan Rohimi Wan Daud berkata perbicaraan belum bermula dan belum ada keputusan akhir tentang saman itu dan sama ada tuntutan PAS dibenarkan atau tidak.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/01/mahkamah-uk-arah-rewcastle-brown-bayar-28900-kepada-hadi/

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14