Peguam: Sultan, Yang di-Pertua Negeri, harus amal sikap berkecuali

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata ketua-ketua negeri harus kekal saksama.

PETALING JAYA: Seorang peguam berkata sultan-sultan dan yang di-pertua negeri tidak harus dilihat menyokong mana-mana calon kerana mereka sepatutnya mengamalkan sikap berkecuali.

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata langkah menyokong mana-mana calon akan memberi isyarat yang salah kepada pengundi yang menyokong parti politik berbeza pada pilihan raya umum nanti.

“Seperti maxim perundangan, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi pelaksanaannya juga harus dilihat, ketua-ketua negeri harus kekal saksama,” katanya FMT.

Beliau mengulas lawatan mengejut Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Yaakob, yang melawat penyandang Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Khalil yang juga bekas menteri besar Pahang, singgah di satu pertemuan semalam yang dianjurkan oleh penduduk Bentong di sebuah rumah di Kampung Sungai Marong, Bentong.

“Saya ke sini untuk memberi restu saya,” kata Khalil sebagaimana yang dilaporkan oleh The Star. Khalil, 80, berkata Liow “sangat berkebolehan”.

Katanya, beliau memutuskan untuk bertemu dengan Liow memandangkan beliau berada berdekatan Sabai untuk melawat calon MIC bagi DUN itu, Datuk R Goonasakaren, yang juga abang ipar kepada pemandunya.

Khalil yang juga bekas setiausaha agung Umno, ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka sejak 2004.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pakatan Harapan (PH) Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin berkata masa lawatan itu tidak sesuai.

“Beliau harus dilihat sebagai saksama pada waktu ini kerana PH, Barisan Nasional dan juga PAS akan bertanding di Melaka.”

Shamsul yang akan bertanding di 1 DUN dan 1 Parlimen di Melaka, juga menyalahkan Liow dan BN kerana menggunakan Khalil untuk mendapatkan sokongan.