Polis: Warga emas ditolak kerana halang suspek pacak bendera PKR

Wahib menasihati semua penyokong parti politik supaya berkempen secara tertib.

YONG PENG: Warga emas yang ditolak dari atas pentas ceramah MCA di Toman Kota, Yong Peng semalam dipercayai cuba menghalang suspek memacakkan bendera PKR di kawasan pentas itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Abdul Wahib Musa berkata suspek lelaki berusia 58 tahun itu ditahan dan direman polis selama 7 hari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan parah.

Polis berkata mangsa, Tan Hong Hi @ Ting Hong Hi, dilaporkan mengalami keretakan tulang rusuk kiri dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

“Semalam jam lebih kurang 8.50 malam, pihak polis semasa menjaga program MCA Ayer Hitam melihat mangsa bertekak dan hampir bergaduh dengan suspek yang sedang memegang bendera PKR di bahagian belakang pentas di Jalan Yong Peng.

“Punca kejadian disebabkan mangsa cuba menghalang tindakan suspek yang cuba meletakkan bendera PKR di kawasan pentas,” katanya.

Polis menasihati penyokong parti-parti politik agar menjaga tertib dan tidak menganggu mengganggu satu sama lain sepanjang berkempen.

“Saya telah berjumpa dengan wakil parti dan wakil calon yang bertanding sebanyak 2 kali iaitu pada 26 April dan 29 April di IPD Batu Pahat.

“Dalam perjumpaan tersebut mereka telah berjanji tidak akan menimbulkan kekacauan dan pergaduhan antara satu sama lain semasa kempen diadakan,” katanya.