Rafizi: Aku dah ada 14 saman, apalah satu lagi dari Khairy

Rafizi Ramli berucap di sebuah program PH di Rantau, malam tadi.

REMBAU: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau tidak gentar dengan calon BN di Rembau, Khairy Jamaluddin yang mahu menyamannya dan “mahu membenamkannya untuk selama-lamanya”.

“Dia rasa dia cukup kuat, samanlah. Nak saman satu lagi, saya dah ada 14 saman. Khairy lupa saya orang yang masuk lokap tiap-tiap tahun,” katanya berucap di sebuah ceramah anjuran Pakatan Harapan (PH) di Rantau malam tadi.

“Dia tak pernah masuk lokap, cakap besar. Orang macam ini dia ingat kita takut dengan saman dia.

“Saman saya pernah kena, lokap saya pernah kena, malah saya berdepan 4 tahun penjara. Itu pun aku tak takut. Kalau setakat Khairy Jamaluddin, siapa sangatlah,” katanya.

Sabtu lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding apabila calon PKR bagi kerusi negeri Rantau, Dr Streram Sinnasamy, dihalang masuk ke pusat penamaan calon atas alasan beliau tidak mempamerkan pas rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Susulan itu, Rafizi menuduh Barisan Nasional menyekat calon PKR itu daripada bertanding, mengundang kenyataan Khairy yang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

“Saya akan membenamkannya selama-lamanya kerana saya tak boleh menerima penipuan dia, khususnya mengenai integriti pilihan raya saya,” kata Khairy.

Rafizi semalam berkata Umno dan BN takut kalah dalam PRU14.

“Sebab ini kali pertama orang Melayu, Cina, India datang bergabung,” katanya pada ucapan yang dihadiri kira-kira 400 orang itu.

Rafizi turut meminta maaf kerana beliau yang menyuruh Streram merempuh halangan polis semasa hari penamaan calon pada Sabtu.

“Saya minta maaf lah, saya yang suruh Dr Streram rempuh, masuk. Dia rempuh, dia langgar, dia juga kena tangkap dengan polis. Polis nak gari dia, polis nak tekan dada dia,” katanya.

Video insiden Streram dihalang pegawai polis viral di internet.