Rafizi persoal jika minyak disubsidi secara senyap

Harga runcit minyak tidak berubah sejak sebulan lepas.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan semula subsidi minyak secara senyap-senyap bagi meraih kemenangan pada pilihan raya.

Katanya, harga runcit tidak berubah sejak 4 minggu lepas, dengan RON95 kekal pada RM2.20 seliter walaupun harga minyak mentah dunia meningkat.

“Ia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang awam, terutama apabila harga minyak mentah dunia sedang meningkat.

“Harga minyak melonjak kepada AS$75.17 setong (peningkatan sebanyak 11% dalam masa sebulan).

“Berdasarkan formula digunakan kerajaan, harga petrol RON95 esok sepatutnya mnejadi RM2.38 seliter, atau 18 sen lebih tinggi.

“Pelik apabila harga mingguan yang ditetapkan oleh kerajaan tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kekal pada RM2.20 untuk RON95 selama 4 minggu berturut-turut,” katanya.

Rafizi berkata jika harga minyak mingguan dimanipulasi bagi meraih undi, maka ia sama seperti membuli rakyat.

Beliau juga berkata harga minyak yang tidak berubah sejak 4 minggu lalu membuktikan PH betul dalam mengatakan harga minyak boleh distabilkan dan dikurangkan menerusi subsidi.

Pada 30 Oktober tahun lepas, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah menyatakan kerajaan masih memberi subsdi minyak walaupun ia sepatutnya dimansuhkan pada 2014.

Katanya, subsidi tersebut secara khususnya disimpan bagi tempoh apabila harga minyak meningkat semasa penyesuaian harga setiap minggu.

“Walaupun kami sudah melaksanakan mekanisme penetapan harga, kerajaan masih mensubsidikan harga minyak. Kami tidak mahu rakyat terlalu terbeban.

“Ada tempoh apabila harga minyak naik, jadi kita subsidikan sedikit. Beberapa ratus juta ringgit sebulan.

“Saya tidak tahu adakah kita akan terus melakukan perkara itu, tetapi buat masa ini kita mensubsidikan harga minyak, walaupun tidak banyak.

“Sebelum rancangan rasionalisasi subsidi (pada 2014), kita membelanjakan RM22 bilion (setahun),” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/10/30/kerajaan-masih-subsidi-harga-minyak-kata-irwan-serigar/