Rakyat Sepanggar yakin Rahman Dahlan mampu bawa pembangunan

Salah seorang penduduk di Sepanggar juga berkata, Abdul Rahman berpersonaliti menarik kerana ramah dan murah senyuman ketika beramah mesra. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Penduduk Parlimen Sepanggar yakin pengalaman serta kebolehan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di peringkat Persekutuan akan mampu membawa lebih banyak pembangunan daripada pelbagai aspek di kawasan itu.

Abdul Rahman yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sepanggar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini juga dilihat mempunyai keinginan serta semangat tinggi untuk membantu rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Kampung Babagon Toki Kasim Sudoling berkata, Abdul Rahman juga mempunyai personaliti menarik kerana ramah dan murah senyuman ketika beramah mesra dengan penduduk kampung.

“Saya juga melihat beliau seorang pemimpin yang mempunyai misi untuk membawa pembangunan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis perasmian Pesta Kaamatan Pusat Daerah Mengundi Inanam Darat di Balai Raya Kampung Babagon, Inanam, hari ini.

Majlis dirasmikan Abdul Rahman itu turut dihadiri calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam Datuk Johnny Goh.

Seorang lagi penduduk Josieka Joulis, 25, dari Kampung Kolosunan, Inanam, berkata Abdul Rahman dilihat mempunyai keupayaan dan kemampuan membawa Sepanggar khususnya di kawasan Inanam ke tahap lebih baik daripada sedia ada.

Pendapat sama disuarakan Fatimah Munsin, 46, seorang penduduk dari Kampung Kionsom Kecil yang berkata, Abdul Rahman juga seorang calon BN yang mempunyai semangat dan keinginan tinggi untuk membantu rakyat di semua kawasan Parlimen Sepanggar.

Menurutnya, ciri-ciri calon pemimpin seperti itu amat diperlukan memandangkan penduduk kampung masih memerlukan lebih banyak pembangunan termasuk jalan raya berturap.

“Dan, saya yakin beliau boleh melakukannya. Di samping itu, kami juga berharap keindahan alam semula jadi di kawasan ini diketengahkan bagi pelancongan kerana ada kampung seperti Kampung Kolosunan memiliki air sungai bersih dan air terjun sesuai untuk tarikan pelancong,” katanya.

Terdahulu, Abdul Rahman ketika berucap berkata, Sabah perlu bersatu mempertahan kerajaan BN pada pilihan raya kali ini bagi memastikan ”suara” Sabah lebih kuat, membolehkan segala aspirasi mereka didengar kerajaan Persekutuan.

“Bila kita (orang Sabah) kuat dan BN Sabah kuat, percayalah… apa sahaja permintaan kita akan diberi perhatian,” katanya.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut merasmikan bangunan tambahan balai raya kampung berkenaan selain beramah mesra dengan penduduk kampung serta peserta Unduk Ngadau (ratu cantik) cilik yang lengkap memakai pakaian tradisi masyarakat Kadazandusun Murut.