SPR beri 12 jam kepada PH turun atau tutup wajah Dr M

Ketua DAP Negeri Sembilan Anthony Loke (kanan) berkata ada 40 papan iklan bermasalah.

Oleh Anne Grace

AMPANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengarahkan Pakatan Harapan (PH) menurunkan papan iklan di Negeri Sembilan yang memaparkan Tun Dr Mahathir Mohamad, atau menutup wajah calon perdana menteri mereka itu.

Ketua DAP Negeri Sembilan Anthony Loke berkata SPR memberikan tempoh masa 12 jam kepada PH untuk bertindak ke atas kira-kira 40 papan iklan.

“Walaupun kita keberatan, kita perlu patuhi arahan SPR kerana kita tidak ada masa untuk menaikkan papan iklan baharu sebelum hari mengundi,” kata Loke, yang akan bertanding di Parlimen Seremban.

Loke kecewa dengan arahan SPR itu kerana merasakan suruhanjaya perlu menunjukkan rasa hormat pada bekas perdana menteri itu.

“Walaupun SPR mengenakan arahan ini, kami tidak akan membuat aduan terhadap sepanduk dan papan iklan Barisan Nasional (BN) yang memaparkan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bersalaman dengan Presiden China, Xi Jinping.

“Sepatutnya, mengikut peraturan dan panduan SPR, BN tidak patut memaparkan seorang presiden China yang tiada kaitan dengan Malaysia, dan juga Liow, yang tidak pun bertanding sebagai calon di Negeri Sembilan. Jadi, kenapa pula gambar mereka dibenarkan?”

Terdahulu, Ketua PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, yang bertanding kerusi Sikamat berkata, SPR tidak berlaku adil pada pembangkang.

“Saya khuatir masalah akan tercetus pada hari pengundian. Bagaimanapun, saya berharap SPR akan berikan maklmat secukupnya kepada semua calon walau apapun parti mereka.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14