Tabiat tangguh kes dalam kehakiman kembali tular, kata Raus

Tun Raus Sharif berkata penangguhan perbicaraan perlu jarang dilakukan, kerana di negara maju amalan ini tidak wujud dalam perbendaharaan kata mereka. (Gambar Twitter)

KUALA LUMPUR: Tabiat “endemik” menangguhkan kes oleh hakim serta peguam menular kembali dalam sistem kehakiman sehingga melewatkan proses penghukuman, kata Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif.

Raus berkata beliau prihatin terhadap tabiat itu yang hanya akan menghalang program reformasi kehakiman yang dilaksanakan sejak akhir 2008.

Raus yang terlibat dalam reformasi itu sejak peringkat awal lagi, menggalakkan semua pihak menyemai budaya kepastian bagi tarikh perbicaraan dan mendengar kes di semua mahkamah seluruh negara.

Beliau berkata penangguhan perbicaraan perlu jarang dilakukan, di mana di negara maju amalan ini tidak wujud dalam perbendaharaan kata mereka.

“Kita tidak harus membenarkan budaya memohon penangguhan. Saya mahu semua orang tegas dalam isu ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Hakim-Hakim ke-52 hari ini.

Turut hadir, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Makinudin, Ketua Hakim Malaya Tan Sri Ahmad Maarop, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Panglima Richard Malanjum, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, hakim-hakim Mahkamah Tinggi dan pesuruhjaya kehakiman.

Raus berkata beliau tidak akan melayani permohonan secara keseluruhan bagi penangguhan kes oleh hakim atas alasan persidangan, perhimpunan agung tahunan, perhimpunan agung luar biasa sungguh pun oleh mana-mana pihak termasuk pejabat peguam mahupun pejabat peguam negara.

Beliau berkata ia juga termasuk permohonan penangguhan oleh peguam bagi menghadiri Persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau sebarang acara lain bersangkutan.

“Peraturannya ialah tidak harus ada penangguhan, kecuali dalam hal kematian atau hampir mati. Ini bukan satu jenaka. Ini perkara serius,” katanya.

Justeru beliau mahu hakim berperanan sebagai pengawas dalam mengurus kes dari peringkat awal lagi dan bukan membenarkan ada pihak yang menentukan kadar ligitasi.

Ketua hakim negara berkata hakim tidak harus membiarkan diri mereka mengikut telunjuk jadual ketat peguam, kesediaan dan kelapangan serta menangguhkan sesuatu kes atas alasan peguam berkenaan mempunyai kes di mahkamah lain.

Mengenai kejayaan reformasi itu, Raus berkata satu-satunya kes lama yang tertunggak ialah yang bertarikh 2017 yang seharusnya diselesaikan pada awal penggal ke-2 tahun ini.

Sehingga 31 Mac tahun ini, sebanyak 110 kes rayuan pra 2017 masih tertunggak di Mahkamah Persekutuan, 214 kes rayuan pra 2017 masih tertunggak di Mahkamah Rayuan dan 1,799 kes pra 2017 masih tertunggak di Mahkamah Tinggi seluruh negara.

Kes sivil dan jenayah pra 2017 yang masih tertunggak mengikut pecahan negeri ialah di Selangor dengan 491 kes diikuti Kuala Lumpur (444 kes) Pulau Pinang (149 kes), Kedah (126 kes), Johor (124 kes), Sabah (110 kes), Sarawak (88 kes), Perak (64 kes), Negeri Sembilan (52 kes), Terengganu (47 kes), Melaka (43 kes), Pahang (41 kes) dan Perlis (8 kes).