TLDM akan terima kapal LMS pertama sebelum Oktober

Kapal LMS ini akan menggantikan kapal ronda TLDM yang berusia dan berhadapan dengan masalah keusangan. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka menerima 1 daripada 2 kapal misi pesisir (LMS) yang kini dalam pembinaan, lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan pada Oktober 2019.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pembinaan 2 kapal LMS itu oleh China Shipbuilding & Offshore International Co. Ltd (CSOC) dan Boustead Naval Shipyard berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya ingin memaklumkan saya berpuas hati dengan laporan perkembangan perolehan 2 kapal LMS. InsyaAllah kita akan memperoleh LMS pertama daripada 2 LMS ini sebelum Oktober 2019,” katanya kepada Bernama.

Pembinaan kapal LMS ini merupakan 1 daripada 5 kelas atau jenis kapal yang dilulus kerajaan di bawah program transformasi armada TLDM 15 ke-5 untuk membolehkan TLDM melaksana tugas operasi secara berterusan di perairan maritim dan memperkukuhkan kedaulatan negara.

Mengikut perancangan jangka panjang pelan transformasi tersebut, sejumlah 16 buah LMS akan dibina secara berperingkat oleh limbungan tempatan bagi menggantikan kapal ronda TLDM yang berusia dan berhadapan dengan masalah keusangan.

Menurutnya buat masa ini, 2 kapal ronda yang ada iaitu KD Sri Johor dan KD Sri Perlis masih lagi beroperasi melaksanakan rondaan di perairan timur Sabah walaupun melebihi usia 50 tahun.

Ahmad Kamarulzaman berkata penambahan dan kehadiran kapal-kapal ini di laut kelak, sudah tentu akan meningkatkan lagi keyakinan dalam kalangan rakyat, khasnya komuniti maritim seperti para nelayan.

“Perasaan selamat ini akan diterjemahkan kepada peningkatan keyakinan rakyat kepada usaha kerajaan melalui ATM, agensi keselamatan khasnya TLDM yang sentiasa prihatin terhadap menjaga keselamatan negara dan rakyatnya,” katanya.