Wan Azizah nafi ‘Tsunami Melayu’ mahu hapuskan institusi Bumiputera

Wan Azizah berkata “Tsunami Melayu” mahu menyelamatkan negara daripada BN.

IJOK: Pakatan Harapan (PH) menafikan “Tsunami Melayu” yang dibawa Pakatan Harapan mahu menghapuskan institusi Bumiputera, kerana gelora sokongan orang Melayu itu mahu menyelamatkan negara daripda Barisan Nasional (BN).

“Siapa sekarang ini yang menyeleweng institusi Melayu seperti Mara, Tabung Haji dan Felda? Itu bukannnya dilakukan oleh kami, ia dipegang pimpinan dalam Umno.

“Kami mahu perbetulkan keadaan, bukan untuk memusnahkan. Ini ‘fake news’,” kata calon timbalan perdana menteri PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau menjawab kenyataan calon BN bagi Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mendakwa “Tsunami Melayu” yang dibawa pembangkang bertujuan memusnahkan institusi Melayu dan rancangan itu bermula selepas pilihan raya 2013.

Shahrir merujuk kepada serangan terhadap institusi yang penting buat orang Melayu seperti Tabung Haji, Felda dan Tabung Angkatan Tentera.

“Dia serang Tabung Angkatan Tentera, satu institusi juga yang dekat dengan hati orang Melayu kerana ramai orang Melayu yang berkhidmat dengan angkatan tentera, serang pulak Felda, buat tuduhan macam-macam kata Felda bankrap dan sebagainya,” kata Shahrir

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu menjelaskan bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad antara pencetus “Tsunami Melayu” yang diperkatakan Barisan Nasional itu.

“Sepanjang saya 40 tahun dalam bidang politik, orang Melayu hormat kepada 2 pemimpin, Tun Abd Razak Hussein dan Dr Mahathir. Tun Razak bertanggungjawab menaikkan penduduk di kawasan luar bandar manakala Dr Mahathir melahirkan usahawan Melayu,” katanya.

Beliau akui benci dengan kenyataan yang mengaitkan gelora sokongan orang Melayu kepada usaha menghapuskan institusi Bumiputera.

“Saya dari kecil dibenarkan dengan isu ini. Tanah tentera seluas 40 ekar yang didakwa tergadai tidak ada sedikit pun kena mengena DAP, begitu juga saham Felda yang turun dan tanah Tabung Haji yang dibeli,” katanya.