Apa yang saya minta hanya doa ibu, kata Nik Omar

Nik Omar berucap kepada pelajar dan guru di Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka, hari ini.

KOTA BHARU: Anak bekas mursyidul am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz yang didakwa tidak pulang ke rumah untuk mendapat restu bertanding di kerusi negeri Chempaka atas tiket PKR, berkata beliau mengharapkan doa daripada ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

“Apa yang kita minta daripada bonda tidak banyak, yang penting minta bonda doa kepada semua anak dia. Apa yang berlaku ini hanya silap faham sahaja, sebenarnya tidak ada masalah apa,” katanya selepas pulang menemui ibunya di Pulau Melaka, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menjawab dengan jelas sama ada ibunya merestui keputusannya menjadi calon Pakatan Harapan (PH).

Ditanya isi kandungan perbualan dengan ibunya, Nik Omar hanya berkata: “Semua berjalan dengan baik.

“Tidak timbul isu itu (diberi nasihat oleh ibu),” kata anak ke-2 daripada 10 beradik itu.

Difahamkan, beberapa hari menjelang hari penamaan calon Sabtu lalu sehingga semalam, Nik Omar tinggal di sebuah rumah inap desa untuk memudahkannya berkempen di kawasan Chempaka. Beliau pulang ke rumahnya dekat kediaman ibunya sejak malam tadi.

Menurut salah seorang pegawai yang mengiringi Nik Omar sepanjang tempoh berkempen ini, walaupun tidak pulang ke rumahnya, tetapi beliau ada berjumpa dengan ibunya.

Adiknya, Nik Mohamad Abduh sebelum ini berkata, ibu mereka sangat terguris susulan keputusan Nik Omar menyertai PH untuk menentang PAS.

“Ini adalah tembakan kedua yang terpaksa ditanggung oleh bonda selepas ‘tembakan’ pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad lebih 15 tahun lalu, apabila seorang anaknya ditangkap di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

“Bonda kini memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya yang dalam akibat ‘tembakan’ yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lalu dan 2 hari lalu, ‘tembakan’ itu tepat singgah ke jantung bonda,” kata Nik Abduh yang juga calon PAS di Parlimen Bachok.

Ditanya jika beliau hanya menemui ibunya atau Nuk Abduh turut hadir kerana adiknya tinggal bersama, Nik Omar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Katanya, masalah tidak timbul jika semua pihak menghormati satu sama lain.

“Sebab kita nak buat ini benda kebaikan, cuma orang ini nampak macam ini, orang itu nampak macam itu, jadi kita hormat tidak ada masalah. Kita hidup atas dunia ini bukan untuk bergaduh, kita hidup berlumba buat kebaikan.

“Tak semestinya persaudaraan itu kita kena jaga bila kita ada kopiah atas kepala, tak ada kopiah pun tidak ada masalah.

“Kalau kita duduk dalam hutan mana pun, kalau kita jaga hubungan, kita mulia di sisi Allah. Tapi kalau kita pakai kopiah, kita punca kepada perbalahan, apa untung? Tak ada untung,” katanya tanpa menjelaskan perbalahan yang dimaksudkannya.

Nik Omar melawat ibunya kira-kira 10 minit hari ini, selepas menemui pelajar dan guru di Maahad Darul Anuar, sekolah swasta milik keluarganya yang terletak berdekatan rumah ibunya.

Katanya, tiada perkara janggal berlaku di Maahad Darul Anuar selepas beliau menjadi calon PH.

“Sebenarnya tidak ada apa-apa, cuma sibuk sikit berbanding biasa. Sebenarnya sekolah ini bukan sekolah kerajaan pusat atau kerajaan negeri, sekolah ini milik keluarga dan swasta.

“Kita datang ke sini untuk beri nasihat kepada pelajar-pelajar, begitu juga kepada guru supaya mereka terus menjalankan tugas sebagai pendidik.

“Secara peribadi, saya nak maklum kita tidak campur, bidang politik lain, ini bidang pendidikan jadi kita fokus kepada pendidikan.”

Maahad Darul Anuar yang kini mempunyai kira-kira 200 pelajar dan 40 guru, diserahkan kepada Nik Omar sebagai mudir selepas diswastakan pada 2008.

Sekolah itu pada mulanya terbuka kepada orang ramai ketika berada di bawah seliaan kerajaan negeri dan Yayasan Islam Kelantan.

Nik Omar nafi tak pulang rumah sejak jadi calon PH