Asyraf Wajdi: PAS makin berpecah, rakyat Kelantan makin sokong BN

Kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tindakan Nik Omar beri kesedaran kepada penyokong PAS yang selama ini berpegang teguh hanya orang bersama mereka akan masuk syurga, (Gambar Facebook)

MACHANG: Sokongan rakyat Kelantan terhadap calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini semakin terserlah selepas mereka melihat perpecahan dalam PAS semakin serius.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan Nik Omar, anak bekas mursyidul am PAS, arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bertanding atas tiket Amanah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka membuka mata penyokong PAS terhadap parti mereka.

“Tindakan Nik Omar itu memberi kesedaran kepada penyokong PAS yang selama ini berpegang teguh hanya orang bersama dengan mereka (PAS) akan masuk syurga,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Wacana Ilmu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Asyraf Wajdi yang juga calon BN Parlimen Pasir Puteh berkata transformasi pemikiran perlu dilakukan segera bagi mengubah tanggapan sebilangan anggota PAS yang masih menyamakan Islam dengan PAS dan mendahului parti daripada agama.