Di Ayer Hitam, penduduk Cina tolak Wee kerana faktor Najib

Orang ramai bersorak tanda sokongan pada sebuah program ceramah Liew Chin Tong di Ayer Hitam, malam tadi.

AYER HITAM: Kebanyakan pengundi Cina di sini rata-rata sudah pun membuat keputusan siapa pilihan mereka pada 9 Mei nanti, di kawasan yang menyaksikan pertembungan 2 gergasi ahli politik dari kalangan masyarakat mereka.

Ramai yang ditemui FMT memberikan alasan mereka tidak dapat menerima calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Ka Siong, kerana tidak menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 25, berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan Wee kerana mengakui kerja yang dilakukannya di Ayer Hitam.

“Tetapi sekarang tidak suka dia punya bos,” katanya, sambil menambah yang dia “bukan tidak suka BN”.

“Dengan Wee kita tidak ada masalah. Tapi kalau undi Wee sama dengan undi Najib,” katanya.

Chan juga tidak mempunyai masalah sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menjadi perdana menteri.

“Semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri, wang Malaysia tidak jatuh macam sekarang. Sekarang tukar duit ringgit kepada dolar di Singapura juga sudah sikit,” katanya.

Calon PH Liew Chin Tong berkongsi papan tanda kempen dengan Dr Mahathir Mohamad.

Chan berkata calon PH, Liew Chin Tong juga dilihat mempunyai rekod baik ketika menyandang kerusi Parlimen Kluang.

Suri rumah, Jo Anne, 38, pula memberi alasan kos sara hidup dan bantahannya terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk tidak memangkah pada petak BN pada 9 Mei nanti.

Jo Anne berkata beliau masih ingat pembangunan pesat di bawah era Dr Mahathir.

Seorang lagi peniaga Cina yang ditemui di pusat bandar di sini turut memberikan alasan kos sara hidup untuk menyokong PH.

“Kita kali ini bagi ubah kerajaan. Rakyat sekarang susah, dengan GST. Jika PH tidak bagus, kita tukar balik tidak ada masalah.

“Saya juga tidak kisah kalau calon itu Melayu, asalkan bukan BN. Saya juga undi PAS dulu,” katanya.