Hishammuddin: Seperti Onn Jaafar, Muhyiddin tidak mampu gugat BN Johor

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sejarah buktikan perkara ini apabila pengasas dan presiden pertama, Datuk Onn Jaafar, gagal mendapat sokongan akar umbi setelah keluar Umno.

HULU SELANGOR: Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan faktor yang boleh menggugat kekuatan Barisan Nasional (BN) di Johor, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn.

Beliau berkeyakinan pengundi dan ahli BN mampu melihat dari perspektif lebih luas dalam memilih calon dan parti yang dapat menjanjikan masa depan lebih baik untuk mereka pada pilihan raya umum ke-14 ini.

Beliau berkata sejarah juga beberapa kali membuktikan perkara ini termasuk nasib menimpa pengasas dan presiden pertama, Datuk Onn Jaafar yang gagal mendapat sokongan akar umbi setelah keluar Umno pada 1951 kerana perbezaan ideologi.

Onn Jaafar yang juga datuk kepada Hishammuddin kemudiannya menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya dan kemudiannya Parti Malaya yang kedua-dua akhirnya terkubur kerana gagal meraih sokongan rakyat.

“Jika kami bimbang tentang Johor, saya tidak akan berada di Hulu Selangor hari ini. Pada masa lalu, sejarah membuktikan, pengasas Umno, apabila rakyat melihat pada gambaran menyeluruh, pengasas itu juga akan dikesampingkan.

“Itu yang berlaku kepada (bekas timbalan perdana menteri) Tun Musa Hitam. Jadi apa yang membuatkan Tan Sri Muhyiddin begitu istimewa?,” katanya kepada wartawan selepas melawat kawasan Parlimen Hulu Selangor dan DUN Batang Kali di Taman Bunga Raya hari ini.

Muhyiddin yang merupakan bekas timbalan presiden Umno sebelum dipecat pada tahun 2016 akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh. Beliau juga akan bertanding di kerusi DUN Gambir.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong berkata BN Johor tidak mengambil mudah tentangan yang dilontarkan pembangkang, tetapi meningkatkan gerak kerja jentera pilihan raya dalam mendepani cabaran pihak lawan untuk memenangi PRU ini.

Mengulas mengenai jentera BN dalam tempoh berkempen yang kini memasuki hari ke-5, beliau berkata ia berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak.

Terdahulu dalam ucapannya, Hishammuddin berkata calon-calon bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dan DUN adalah pasukan impian bagi membawa perubahan yang baik kepada pengundi di kawasan ini.