Kenapa janji mansuh tol LDP sekarang, Gobind tanya calon BN

Gobind Singh Deo daripada DAP memperjuangkan penghapusan tol LDP sejak bertahun lamanya.

PETALING JAYA: Penyandang kerusi Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo terkejut dengan tindakan lawannya, Ang Chin Tat daripada Barisan Nasional (BN) yang berjanji akan menghapuskan tol di Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP), jika beliau menang pada 9 Mei ini.

“Ia pelik apabila partinya (Gerakan) atau BN tidak membuat apa-apa sejak 20 tahun lalu untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya kepada FMT.

Gobind yang dipilih sebagai ahli Parlimen Puchong pada 2008, berkata beliau sudah membawa isu tol ke Dewan Rakyat, tetapi tiada seorang pun wakil Gerakan atau BN yang menyokongnya.

“Tiada sokongan daripada Gerakan apabila kadar tol dinaikkan daripada RM1.60 kepada RM2.10,” katanya.

Gobind berkata demikian mengulas papan iklan yang dinaikkan di kawasan Parlimen itu dengan ketua Gerakan Selangor itu berjanji menghapuskan bayaran tol untuk LDP.

Gobind yang juga timbalan pengerusi DAP, berkata walaupun Selangor ditadbir Pakatan Harapan, beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana tol di bawah bidang kuasa Putrajaya dan syarikat konsesi.

Katanya, PH menerusi manifestonya berjanji akan menghapuskan bayaran tol di lebuh raya seluruh negara secara beransur-ansur, jika mereka diberikan mandat pada pilihan raya umum ke-14.

Papan iklan calon BN, Ang Chin Tat yang menjanjikan penutupan tol Puchong.

“Palang tol di LDP akan dikeluarkan kerana syarikat konsesi itu sudah mendapat kembali modalnya dan memperoleh keuntungan sekarang.”

Katanya, janji Ang hanya menunjukkan kegagalan Gerakan dan BN terhadao rakyat dan pengguna lebuh raya sepanjang 40km itu.

Gobind berkata, penghapusan tol LDP ialah janji kosong Ang kerana beliau tidak mampu merealisasikannya.

“Bukan beliau yang akan menentukannya, tetapi untuk kerajaan BN melaksanakannya jika mereka diberikan mandat.”

Beliau berkata, BN membebankan rakyat dengan tindakan melanjutkan konsesi kutipan tol dan mengundi Ang serta BN sama dengan menyokong kutipan tol.

Pembinaan LDP yang menelan kos RM1.4 bilion dibuka kepada orang ramai pada 1999.

Calon PAS, Mohd Rosharizan Mohd Rozlan ialah calon ke-3 di kerusi Parlimen Puchong.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14