Lelaki di Kedah maut digilis jentera pembajak

Saksi, Ahmad Said, 63, berkata sebelum kejadian, mangsa turun dari jentera pembajak untuk berbual dengannya dalam keadaan enjin masih hidup dan jentera bergerak. (Gambar Facebook)

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang cuba menghentikan traktor bergerak dengan melompat naik jentera itu maut bila tersepit dalam jentera pembajak di Batu 13, Pokok Sena, lewat petang semalam.

Mohd Azuan Abdul Manaf, 39, mati di tempat kejadian selepas terperosok di bawah perut jentera berkenaan.

Seorang saksi, Ahmad Said, 63, berkata sebelum kejadian kira-kira 7.19 petang, mangsa turun dari jentera pembajak untuk berbual dengannya dalam keadaan enjin masih hidup dan jentera bergerak.

“Saya menasihatinya supaya mematikan jentera itu sebelum mangsa tiba-tiba berlari dan lompat naik dengan memijak tayar berantai besi jentera pembajak itu sebelum tergelincir dan kedua kakinya termasuk ke dalam tayar rantai besi itu.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana jentera itu bergerak dan berlari meminta bantuan abang mangsa yang juga sedang membajak tanah 100m dari tempat kejadian.

“Kejadian itu turut menyebabkan seluruh badan mangsa diheret dan digilis jentera tersebut hingga masuk bawah perut jentera itu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, Mohd Azuan yang sudah berkeluarga dan mempunyai 4 anak berusia 6 hingga 13 tahun sebelum ini mengambil upah membajak sawah milik penduduk di kawasan itu.