Mulut Nazri bantu saya raih undi, kata calon PKR

Calon PKR Padang Rengas, Ejazi Yahaya mahu membina jalan raya lebih baik, menaikkan had laju kepada 120km/j dan membatalkan saman tertunggak, jika beliau menang PRU14.

KUALA KANGSAR: Calon PKR di Padang Rengas, Ejazi Yahaya yakin beliau berpeluang mengalahkan penyandang kerusi Parlimen itu yang juga pemimpin Umno, Datuk Seri Nazri Aziz, akibat kecenderungannya membuat kenyataan kontroversi.

Bercakap kepada FMT, Ejazi yang lebih dikenali sebagai “Cikgu Ejazi” berkata, Nazri akan mempertahankan Padang Rengas buat penggal ke-6, melampaui batas dengan menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dan hartawan, Tan Sri Robert Kuok.

“Setiap komuniti di Malaysia mempunyai idola mereka. Bagi Melayu, orang itu adalah Dr Mahathir dan bagi Cina ialah Kuok,” katanya kepada FMT di luar sebuah ceramah di Kuala Kangsar, Perak.

Nazri sebelum ini membidas Dr Mahathir, 92, semakin “nyanyuk” kerana mendakwa tanah yang dijual kepada warga asing akan menjadi milik orang asing.

Awal tahun ini, Nazri menggelar Kuok yang berpangkalan di Hong Kong “pondan” kerana didakwa membiayai pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Nazri berkata, jika Kuok mahu menggulingkan kerajaan, beliau harus bertanding dalam pilihan raya, bukannya bersembunyi di Hong Kong. Kuok bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Ejazi berkata, bagi Melayu, mereka percaya ada cara betul untuk menegur atau memberi respons kepada seseorang tidak bersefahaman dengan anda.

“Ramai Melayu dan Cina marah dengan kata-kata Nazri terhadap Dr Mahathir dan Kuok. Beliau melampaui batas dan ia sangat tidak wajar bagi seorang Melayu.

“Jadi, saya percaya saya boleh meraih sokongan rakyat kerana saya akan melawan Nazri.”

Ejazi juga mendakwa ada pemimpin PKR yang “kecewa” lalu berhenti bekerja untuk jentera parti itu kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan calon.

Sebelum ini, 2 ahli jawatankuasa PKR Padang Rengas, mengkritik pemilihan Ejazi, bukannya Lukman Yahya sebagai calon. Ketidakpuasan hati itu juga menyebabkan ketua bahagian, Alias Ibrahim yang menyokong Lukman, meletak jawatan.

“Sesiapa yang mahu meninggalkan parti, terpulang kepada mereka. Rakyat boleh nilai sendiri pemimpin mana berjuang dengan kebenaran.”

Ejazi juga memberitahu rancangannya mahu membina jalan raya lebih baik, had laju dinaikkan kepada 120km/j dan pembatalan saman tertunggak, jika beliau menang pada 9 Mei ini.

“Di negara maju, mereka mempunyai had laju lebih tinggi supaya orang ramai boleh bergerak lebih pantas, tetapi pada masa sama, keselamatan jalan raya juga lebih baik. Ia bukan salah pemandu, kadangkala disebabkan infrastruktur dan kereta.”

Katanya, beliau mahu membantu kanak-kanak tanpa kerakyatan daripada komuniti Cina dan India mendapatkan kad pengenalan mereka.

Kerusi Parlimen Padang Rengas akan menyaksikan pertarungan 3 penjuru antara Ejazi, Nazri dan calon PAS, Mohamad Azalan Mohd Radzi.

Pada 2013, Nazri mengalahkan calon PKR, Meor Ahmad Isharra Ishak dengan kelebihan 2,230 undi.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Nazri tak akan minta maaf pada Robert Kuok