Orang Asli Behrang bosan janji kosong BN, kata calon PH

Calon Behrang Aminuddin Zulkipli (kiri) bersama aktivis Orang Asli, Amani Williams-Hunt Abdullah.

TANJONG MALIM: Orang Asli DUN Behrang bosan dengan janji memberikan tanah dan kemudahan asas yang tidak ditunaikan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata calon Pakatan Harapan (PH) Aminuddin Zulkipi.

“Apa yang mereka minta hanya perkasa asas yang kerajaan patut berikan pada mereka. Kelewatan membantu masyarakat itu tidak berperikemanusiaan,” kata Aminuddin.

Beliau berkata janji memberikan tanah itu dibuat bergenerasi lalu tapi tidak ditunaikan.

“Beberapa tanah yang diwartakan untuk mereka sebelum ini dibatalkan.

“Tanah ini perkara sensitif bagi mereka, jadi PH jelaskan kita akan iktiraf tanah nenek moyang dan perkuburan Orang Asli milik mereka,” katanya pada satu acara di Kampung Pisang, Ulu Rasau semalam.

Behrang terletak dalam Parlimen Tanjung Malim dan 62% pengundi berdaftar berketurunan Melayu. Orang Asli membentuk 9% daripada pengundi di situ.

Pada 2013, Calon BN, Rusnah Kassim menewaskan calon PKR, Abdul Hadi Abdul Khatab dengan perbezaan 1,986 undi. Rusnah mendapat sokongan majoriti pengundi Orang Asli ketika itu.

Aminuddin, yang dicalonkan Amanah, berkata sudah terlalu lama Orang Asli ditipu dan akhirnya mahukan keadilan.

“Saya bercampur dengan Orang Asli dan saya pernah bercakap dengan mereka tentang hak mereka, terutama hak tanah.

“Saya membesar bersama mereka kerana rumah saya terletak bersebelahan kampung mereka.

“Tanah mereka suci bagi mereka dan mereka sensitif mengenai isu tanah.”

Aminuddin berharap dapat memenangi mandat mereka untuk memperjuangkan hak mereka pada 9 Mei ini.

“Saya harap dapat sokongan mereka. Setakat ini, 90% daripada kampung Orang Asli yang kami lawati menunjukkan sokongan kepada kami.

“Kami bercakap dengan belia mereka yang akan pulang dan mendidik ibu bapa mereka tentang perubahan. Belia Orang Asli ejen perubahan kami.”