Polis: 8 kes sepanjang tempoh kempen direkod

Datuk Seri Mazlan Lazim berkata polis buat persediaan bagi proses undi awal yang akan diadakan Sabtu ini, menempatkan 437 anggota mengawal 82 saluran di 23 pusat pengundian seluruh Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 8 kes direkodkan polis di Kuala Lumpur sepanjang tempoh berkempen bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sejak Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kes-kes itu antaranya melibatkan 2 ceramah kempen yang tiada permit dan 1 kes khianat melibatkan kebakaran.

“Selain itu, terdapat juga 3 kes menceroboh di bawah Sekyen 427 Kanun Keseksaan, 1 kes bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan 1 kes laporan melibatkan ”inkuiri” terhadap polis.

“Bagi kes yang disiasat bawah Akta Antiberita Tidak Benar itu, ia melibatkan kes mengenai dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan isu sabotaj jet yang sepatutnya menerbangkan beliau ke Langkawi pada Jumaat lepas,” katanya selepas merasmikan program Peningkatan Kesedaran Pencegahan Jenayah di Jalan Raya di Balai Polis Trafik Tun H S Lee hari ini.

Menurutnya, polis juga membuat persediaan bagi proses undi awal yang akan diadakan Sabtu ini dengan menempatkan 437 anggota untuk mengawal 82 saluran di 23 pusat pengundian seluruh Kuala Lumpur.

Bagi PRU14, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian awal pada 5 Mei dan hari pengundian dijadualkan pada 9 Mei ini.