Umno Pekan pastikan 32,000 keluar undi bagi capai sasaran majoriti

Setiausaha Umno Pekan Datuk Ahmad Azmey Abu Talib juga harap pengundi di Pekan di luar kawasan Parlimen itu pulang dan menunaikan tanggungjawab mengundi.

PEKAN: Umno Pekan akan memastikan 32,000 ahlinya keluar mengundi pada 9 Mei ini bagi mencapai sasaran 40,000 undi majoriti bagi Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen itu.

Setiausaha Umno Pekan Datuk Ahmad Azmey Abu Talib berkata seramai 2,886 jentera Jalinan Rakyat (JR) Barisan Nasional (BN) akan bertugas mengambil dan menghantar pulang ahli Umno yang menghadapi kekangan untuk keluar mengundi.

“Mereka ini aset utama kita jadi kita akan mudahkan mereka untuk keluar mengundi. Semua 56 pusat daerah mengundi (PDM) di Parlimen ini akan disediakan kenderaan mencukupi untuk mengambil mereka di rumah dan menghantar pulang selepas mengundi,” katanya kepada Bernama.

Katanya, pendekatan sama juga akan dilakukan kepada pengundi lain kerana sasaran 40,000 undi majoriti diyakini mampu tercapai sekiranya 80% hingga 90% daripada 88,899 pengundi di Pekan keluar mengundi.

Pada masa sama, Ahmad Azmey mengharapkan pengundi di Pekan yang tinggal di luar kawasan Parlimen itu pulang dan menunaikan tanggungjawab mengundi.

Mengikut pecahan bagi Parlimen Pekan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya mempunyai 32,291 pengundi, DUN Chini (21,251 pengundi), DUN Pulau Manis (20,389 pengundi) dan DUN Bebar (14,968 pengundi).

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mempertahankan kerusi Parlimen itu untuk penggal ke-10 dengan meletakkan sasaran 40,000 majoriti undi berbanding 35,613 majoriti undi pada PRU13.