Kali ini, siapa bersinar di Kuala Selangor?

Rumah api di Bukit Melawati menjadi mercu tanda Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR: Kuala Selangor sinonim dengan rumah api yang dibina sejak zaman British, dan sinaran lampunya memancar sehingga ke hari ini.

Suatu ketika dahulu, cahaya lampu rumah api itu menjadi panduan kepada pelayar Selat Melaka dan menjadi penanda pintu laluan keluar masuk ke perairan Selangor.

Kini, rumah api yang dibuka pada 1907 masih lagi berfungsi dan menjadi tempat untuk mencerap anak bulan bagi menentukan permulaan Ramadan dan Syawal.

Namun, panduan rumah api itu tidak membantu meramal arah politik di sini, menjelang beberapa hari pengundian pada 9 Mei nanti.

Pengundi di sini pernah memilih calon pembangkang, pada 2008, apabila Dr Dzulkefly Ahmad masih bersama PAS.

Calon Parlimen BN Kuala Selangor, Irmohizam Ibrahim (kiri) dan calon negeri Bukit Melawati dari PKR Juwairiya Zulkifli, bertembung di pasar malam Kuala Selangor sewaktu berkempen.

Pada 2013, BN berjaya merampas semula kerusi itu menerusi calon muda, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Pada 9 Mei ini, Irmohizam sekali lagi bertemu Dzulkefly, kali ini sebagai calon Amanah, di samping seorang calon PAS.

Sejak kalah pada 2013, Dzulkefly tidak berhenti berkempen di kalangan penduduk.

Tinjauan FMT mendapati ada kecenderungan pengundi ke arah Dzulkefly, namun masih berbelah bahagi terhadap Irmohizam.

Dzulkefly masih tidak pasti peluangnya kali ini.

“Ketika ini saya fokus kepada pengundi baharu yang pertama kali mengundi dan kawasan yang dahulunya saya tidak dapat undi.

“Rakyat mesti dapat bandingkan antara 5 tahun Irmohizam di Kuala Selangor, dengan saya 5 tahun di Kuala Selangor,” katanya kepada FMT.

Bekas wakil rakyat Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) berkempen di pasar malam Kuala Selangor, dalam usaha merampas balik kerusi itu.

Bagi Dzulkefly, kawasan “hitam” untuknya ialah di Bukit Badong yang dikenal pasti sebagai kubu kuat penyokong PAS di Kuala Selangor.

“Saya dari PAS dahulu, memang PAS di sana ada kekuatan, tapi kali ini merupakan pilihan raya yang sangat rumit, bukannya satu lawan satu,” katanya.

Irmohizam mempunyai manifesto khusus untuk penduduk di sini, termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara di Kuala Selangor serta beberapa pembangunan fizikal yang lain.

“Saya sentiasa terbuka menerima calon dari pihak lawan kerana ini merupakan sebuah negara demokrasi, cumanya dari pertarungan demokrasi ini sudah tentunya saya sebagai anak tempatan Kuala Selangor memahami aspirasi rakyat tempatan,” kata Irmohizam kepada FMT.

Irmohizam menggunakan pendekatan bersemuka dengan pengundi dan menyatakan kaedah ini merupakan amalannya sejak 5 tahun lalu.

“Saya menunjukkan keseriusan diri saya menabur khidmat dan bakti kepada rakyat Kuala Selangor dan dengan kaedah bersemuka ini dan di samping mendengar keluhan rakyat menjadi asas untuk saya berkhidmat,” katanya.

Irmohizam barangkali sedar Kuala Selangor bukan senang dipertahankan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini meminta supaya Irmohizam memberi tumpuan kepada kawasannya kerana BN pernah kecundang pada PRU 2008.

“PRU12 kita kalah dengan majoriti 862 undi, manakala PRU13 kita menang dengan 460 undi.

“Irmohizam, kerusi ini perlu diberi tumpuan lebih,” kata Zahid.