KBS tak boleh kompromi isu rasuah sukan, atur perlawanan, kata Khairy

Facebook Pic

SEREMBAN: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kementerian tidak boleh berkompromi dalam isu rasuah dan atur perlawanan dalam bidang sukan.

Beliau berkata keputusan menggantung pemain badminton, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang, satu tindakan wajar dan mahukan hukuman berat jika terdapat bukti kukuh.

“Masih lagi ada ruang untuk rayuan tetapi pendirian kita ialah tidak berkompromi,” katanya kepada pemberita sebelum meronda kawasan di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar hari ini.

Zulfadli dan Tan masing-masing dijatuhi hukuman penggantungan 20 tahun dan 15 tahun daripada terlibat sebarang aktiviti melibatkan sukan badminton kerana mengatur perlawanan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung Zulfadli dan Tan daripada daripada terlibat dalam sebarang aktiviti melibatkan sukan badminton selama 20 tahun dan 15 tahun bermula 12 Januari lepas kerana mengatur perlawanan.

Zulfadli didapati bersalah kerana terlibat dengan 27 kesalahan manakala Tan terbabit dengan 26 kes.

Badan bebas yang mengendalikan kes tersebut dalam kenyataan berkata kedua-dua pemain itu terlibat dengan kesalahan rasuah dalam beberapa siri kejohanan bermula 2013.