Orang Felda di Jempol tak suka Isa, tapi sokong BN, tolak Dr M

Pintu masuk ke kawasan Felda Palong 9 di Jempol yang dihias dengan bendera BN. Nama Isa Samad tidak popular di sini, tetapi penduduk tetap menyokong BN.

JEMPOL: Ramai pengundi di petempatan Felda di Jempol menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), menandakan kerusi ini masih menjadi cabaran besar kepada Pakatan Harapan (PH) mahupun PAS.

Tinjauan FMT di Felda Palong 9 di sini mendapati pengundi menolak bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun mereka juga tidak menyokong bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Hamidah Abdul Mutalib

Peneroka Felda, Hamidah Abdul Mutalib, 53, beliau akan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN.

“Kita tetap menyokong BN walau apa pun terjadi. Dr Mahathir ini menyusahkan kita.”

Ditanya apa yang dimaksudkan, Hamidah berkata di zaman pentadbiran Dr Mahathir, harga getah tidak pernah naik.

“Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, alhamdulillah. Lepas Pak Lah letak jawatan, Najib Razak naik, terus kita lebih senang.

“Alhamdulillah, Datuk Najib tak pernah menyusahkan kami. Bayangkan setiap tahun ada bantuan. Musim raya, semuanya ada. Apa lagi kita nak? Makcik tak nak sokong lain, tetap BN,” katanya.

Tetapi Hamidah bukan penyokong Isa Samad, sambil berkata dia akan menolak bekas menteri besar Negeri Sembilan itu jika bertanding di situ.

“Kalau Tan Sri Isa buat tak betul, dialah yang dapat (kesannya). Tanggunglah. Macam kita bawah-bawah ini mana tahu sangat kan,” katanya, yang mengakui tidak banyak tahu mengenai skandal Felda.

Menurutnya, selama Isa menjadi ahli Parlimen di Jempol, tidak nampak banyak pembaharuan yang dilakukan melainkan pembinaan bangunan oleh kerajaan.

Abdul Karim Shamsuddin

Seorang lagi peneroka, Abdul Karim Shamsuddin, 57, turut lega BN tidak mencalonkan Isa, sebaliknya menamakan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif untuk bertanding.

“Memang patut dia diganti dengan Salim. Kalau lebih lama dia duduk, banyak lubang, mana nak lari, mana nak makan?” katanya.

Peneroka Tukiran Samawi, 66, juga berkata beliau tidak menyokong Isa, tetapi berkata akan mengundi untuk calon BN.

Ogos tahun lalu, Isa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian 2 buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Januari lepas, Isa disoal polis berhubung kes pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang berjumlah lebih RM200 juta.

Dalam pilihan raya umum ke-13 lalu, Isa memperoleh 31,109 undi berbanding calon PAS, penyanyi terkemuka Wan Aishah Wan Ariffin, sebanyak 22,485 undi.

Calon BN Salim Sharif bakal dicabar calon PKR, Kamarulzaman Kamdias dan Mustaffa Daharun dari PAS.