Ibu bantu calon PAS di Chempaka saat Nik Omar jelajah negara

Tuan Sabariah bergambar ketika berkempen untuk calon PAS di tempat ditandingi anaknya.

PENGKALAN CHEPA: Di saat Nik Omar Nik Abdul Aziz bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berceramah di Putrajaya, ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak berkempen untuk calon lawan anaknya di DUN Chempaka.

FMT difahamkan Tuan Sabariah mula berkempen untuk calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood beberapa hari selepas anak keduanya itu dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan.

Beliau dalam ucapan di Pasar Tani Taman Bendahara petang semalam berkata tiada parti lain yang lebih baik berbanding PAS, seperti yang dipesan suaminya dan bapa Nik Omar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas mursyidul am PAS.

“Ambo (saya) bukan mari untuk ceramah, tapi diminta bercakap. Saya gugup sikit sebab tak biasa. Selalunya hanya kecek (bercakap) di rumah.

“Pilihan raya tak lama dah, ambo rasa biarlah kita kekal dengan apa yang Tok Guru tinggal. Sekarang memang ramai mengaku parti Islam untuk mempengaruhi orang.

“Baru-baru ini, orang kata keluarga saya berpecah. Saya anak ada 10 orang, hanya seorang saja yang ‘monteng’ ke lain (tak sehaluan),” katanya kepada hadirin.

Tuan Sabariah bersama pasukan kempen PAS di Pasar Tani Taman Bendahara, Chempaka.

Tuan Sabariah dalam rakaman ucapannya kelihatan sukar menahan emosi mengenangkan anaknya bersama parti lawan pada pilihan raya kali ini.

“Ambo ini Tuhan duga kuat jugalah. Tapi ambo tak turut yang lain, ambo kekal dengan hak (yang) asal juga,” katanya, merujuk kepada PAS.

Sebelum ini, anak kelima Tuan Sabariah, Nik Mohamad Abduh berkata, ibu mereka sendiri mahu turun berkempen selepas mengetahui Nik Omar melawan PAS.

Selain berkempen di Chempaka, Tuan Sabariah juga berkempen untuk Nik Abduh yang mempertahankan Parlimen Bachok.