Polis: Suspek bunuh pensyarah Palestin lari ke negara lain

Fuzi Harun berkata, polis turut mendapatkan bantuan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia.

KUALA LUMPUR: Polis percaya 2 suspek yang terbabit dalam pembunuhan pensyarah dari Palestin, Fadi al-Batash sudah melarikan diri ke luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sepasukan anggota sudah dihantar ke Bangkok, Thailand untuk mengesan 2 lelaki itu.

“Selain Thailand, kita juga berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia. Kita mengesyaki begitulah (mereka sudah melarikan diri),” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi 21 April lalu, Batash, 35, ditembak mati ketika berjalan ke surau dekat kondominiumnya di Jalan Meranti, Setapak, untuk menunaikan solat subuh.

Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa kira-kira 20 minit, sebelum melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah mangsa.

Mangsa yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta di ibu negara dan merupakan imam kedua di masjid berhampiran tempat tinggalnya, meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan 4 kesan tembakan di kepala dan badan.

Fuzi sebelum ini dilaporkan berkata, polis menemui motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam kes itu berhampiran Tasik Danau Kota di Setapak.

Pensyarah universiti dari Palestin maut ditembak ketika ke surau