Polis buru pemilik van dinaiki suspek bunuh pensyarah Palestin

Dua pembunuh Fadi al-Batash menggunakan pasport palsu Serbia dan Montenegro untuk memasuki negara ini.

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjejaki pemilik van yang dipercayai digunakan suspek dalam kes pembunuhan Fadi al-Batash untuk melarikan diri ke negara jiran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek menaiki van tersebut yang menunggu tidak jauh dari lokasi mereka meninggalkan motosikal yang digunakan untuk melarikan diri selepas menembak pensyarah dan imam warga Palestin itu.

Bercakap pada sidang media selepas pengundian awal di Bukit Aman, hari ini, Fuzi berkata, polis sudah menemui senjata yang digunakan suspek dalam kes itu.

“Secara kasarnya, polis telah mengenal pasti senjata suspek, tetapi saya tidak boleh mendedahkannya kerana sedang menunggu laporan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan kedua-dua suspek menggunakan pasport palsu dari Serbia dan Montenegro untuk memasuki negara ini.

“Mereka juga dipercayai memiliki sejumlah lagi pasport negara lain,” katanya.

Dalam kejadian 6 pagi 21 April lalu, pensyarah kejuruteraan elektrik itu ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak, semasa berjalan ke surau untuk solat subuh.

Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu.