Shafie cuba salahkan saya atas kegagalan diri, kata Musa

Musa berkata, Shafie cuba menyalahkan beliau atas kegagalan sendiri.

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menafikan dakwaan beliau menghalang Datuk Seri Shafie Apdal bertemu pegawai negeri ketika beliau menjadi menteri persekutuan.

“Saya halang dia? Itu bohong,” kata Musa dalam sebuah majlis di Tongod, Sabah, hari ini.

Katanya, bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu cuba mencari alasan atas kegagalannya melaksanakan projek di Sabah.

Shafie ialah menteri kemajuan luar bandar danwilayah dari 2009 hingga 2015, sebelum disingkir daripada Kabinet selepas tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Shafie diperuntukkan dana RM7.5 bilion di bawah kementeriannya untuk Sabah sahaja. Saya fikir ia akan banyak membantu Sabah, tetapi saya silap.

“Sekarang apabila semua projek itu gagal mencapai objektifnya dan Shafie menjadi pembangkang, beliau dengan mudah melepaskan tanggungjawab dan menyalahkan saya.”

Musa berkata, beliau tiada sebab menghalang Shafie di Sabah kerana kerajaan negeri amat memerlukan bantuan daripada kerajaan persekutuan.

“Jadi, kenapa saya mahu menyukarkan keadaan? Saya mahu lihat lebih banyak pembangunan di Sabah dari segi infrastruktur dan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, juga jalan raya, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Perbuatan menghalang projek sedemikian akan merugikan saya. Jika berlaku sesuatu tidak baik di Sabah, ketua menteri akan dipersalahkan, bukan orang lain,” katanya.

Shafie dilaporkan membuat dakwaan itu terhadap Musa, selepas beliau didakwa mengabaikan banyak kawasan di Sabah ketika masih bersama Umno.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14