2 tokoh politik bertembung di Arau

Hampir 65% pengundi berdaftar di Arau adalah petani, dengan 42,480 daripada 48,740 adalah Melayu, Cina (3,950), India (837) dan lain-lain (1,473). (Gambar Youtube)

KANGAR: Kerusi Parlimen Arau menjadi tumpuan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila ia melibatkan 2 tokoh besar iaitu bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga penyandang kerusi Parlimen itu dengan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin.

Walaupun Parlimen Arau sebenarnya melibatkan saingan 3 penjuru dalam PRU kali ini, namun calon PKR Datuk Dr Rahman Daud dilihat tenggelam kerana populariti 2 nama besar itu.

Hashim mempunyai rekod tersendiri apabila menang pada pilihan raya kecil Parlimen Arau pada 1998 dengan majoriti 1,323 undi, menewaskan calon BN yang merupakan adik Shahidan, Datuk Ismail Kassim, namun BN kemudiannya kembali merampas Arau sejak PRU 1999 hingga 2013.

Pada PRU13 lima tahun lalu, Shahidan memenangi kerusi Parlimen Arau setelah menewaskan Datuk Dr Haron Din, yang ketika itu merupakan timbalan mursyidul am PAS, dengan majoriti 1,371 undi setelah memperoleh 19,376 undi mengatasi Haron yang mendapat 18,005 undi.

Ramai yang meramalkan pertandingan kali ini agak sengit antara BN dan PAS kerana penampilan semula Hashim yang kini beliau memegang jawatan cukup berpengaruh dalam partinya manakala Shahidan yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri juga sudah lama berpengaruh cukup kuat di situ.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata kejayaan Hashim pada 1998 yang pada waktu itu pesuruhjaya PAS Perlis, hanya disebabkan “nasib baik”.

“Suasana waktu itu sangat berbeza, berlaku krisis dalaman BN kerana kelemahan jentera BN sendiri, selain itu krisis kegawatan ekonomi juga sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi pada waktu itu… jadi kesimpulannya Hashim menang (pada 1998) bukan atas faktor ‘jenama’ Hashim Jasin itu sendiri,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Shahidan pula ”jaguh” di Perlis yang dilihat sukar ditandingi individu lain kerana mempunyai prestasi cemerlang dan memperoleh tahap sokongan optimum daripada akar umbi.

Selain itu, katanya faktor lain yang dilihat mampu mengekalkan Arau sebagai ”deposit tetap” BN ialah Perlis secara keseluruhannya tidak menjadi sasaran kuat pembangkang kerana jumlah parlimen yang sedikit dan negeri itu juga kurang hasil, tidak seperti Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

Berbeza pula pandangan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) UUM, Dr Kamarul Zaman Yusof yang meramal Parlimen Arau boleh jatuh ke tangan pembangkang dalam PRU14 ini.

Beliau berkata sejak pilihan raya 1999, pertandingan di Arau hanya membabitkan pertembungan 2 penjuru antara calon BN dan PAS, namun kini berlaku 3 penjuru, menjadikan persaingan lebih terbuka.

“Kemunculan semula Hashim di kerusi itu pasti akan lebih melonjakkan semangat penyokong PAS untuk mengusahakan kemenangan beliau yang pernah menang di situ pada pilihan raya kecil 1998,” katanya.

Sementara itu Shahidan yang juga pengerusi badan perhubungan Umno negeri berkata beliau yakin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Arau yang disandangnya walaupun berdepan mursyidul am PAS dan Abdul Rahman yang juga bekas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Bagi saya tiada masalah, saya akan tetap berlawan… mengenai saingan, 2 penjuru sebelum ini beri kelebihan kepada BN, 3 penjuru pula beri lebih banyak kelebihan kepada BN,” katanya.

Dalam pada itu Hashim dan Abdul Rahman masing-masing optimis mampu merampas Arau daripada BN walaupun Parlimen itu kubu kuat BN sejak sekian lama.

Hampir 65% pemilih berdaftarnya adalah petani, Parlimen Arau mempunyai 48,740 pengundi dengan 42,480 daripadanya adalah Melayu, Cina (3,950), India (837) dan lain-lain (1,473), serta sering menyaksikan saingan cukup sengit pada setiap pilihan raya umum.