PAS: Ahmad Yakob pilihan Nik Aziz, nama Husam 2 kali ditolak

KOTA BHARU: PAS Kelantan hari ini menepis dakwaan kononya Datuk Ahmad Yakob bukan calon pilihan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mengambil alih jawatan menteri besar Kelantan.

Bekas Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berkata Ahmad Yakob dipilih sendiri oleh Nik Aziz sementara Husam ditolak 2 kali.

“Dua minggu sebelum PRU13, Nik Aziz panggil Ahmad Yakob ke rumah beliau bersama beberapa pimpinan yang lain. Nik Aziz sebut kepada Ahmad Yakob ‘awaklah ganti saya sebagai menteri besar’. Pada awalnya Ahmad Yakob tolak sebab beliau kata tak layak tetapi Nik Aziz bertegas, dan beberapa pimpinan PAS masa itu suruh terima dan berjanji untuk bantu Ahmad Yakob.

“Atas asas ini kita lihat penerus sebenar kepada legasi Nik Aziz ialah Ahmad Yakob. Dalam ramai-ramai calon yang ada depan Nik Aziz pada masa itu, tok guru pilih Ahmad Yaakob kerana mempercayai kemampuannya. Ini boleh menangkis mana-mana pandangan yang mengatakan Ahmad Yakob bukan pilihan Nik Aziz,” katanya.

Nik Aziz tolak Husam

Abdullah berkata dengan pemilihan Ahmad Yakob bukti jelas pimpinan lain termasuk Husam Musa yang dikatakan lebih dekat dengan Nik Aziz ditolak.

“Saya tidak perlu sebut nama satu persatu tapi Nik Aziz tetap pilih Ahmad Yaakob. Pada masa itu, Husam juga antara pilihan yang ada. Husam antara pemimpin yang Nik Aziz boleh pilih tetapi Nik Aziz pilih Ahmad Yakob,” katanya.

Bekas setiausaha Nik Aziz, Wan Ismail Wan Jusoh berkata nama Husam pertama kali dtolak apabila bekas exco Kelantan itu dicadangkan untuk jawatan timbalan menteri besar pada 2004.

“Dalam PRU-11, PAS menang tipis dengan kelebihan 3 kerusi jadi menjadi penentu tanggungjawab saya untuk susun barisan exco. Pada waktu itu Ahmad Yaakob adalah Adun Pasir Pekan.

“Saya dengan arwah duduk berdepan memilih jawatan timbalan menteri besar. Saya tanya tok guru jawatan timbalan menteri besar nak beri kepada siapa? Saya sebut, antara nama awal, Husam melihat kepada prestasi pada waktu itu. Nik Aziz kata Husam muda lagi dan dia mahu timbalannya sorang ulama. Dia sebut dia mahu Ahmad Yaakob. Saya sekali lagi cadang Husam, tapi Nik Aziz bertegas tidak mahu dan hanya mahu lantik Husam sebagai exco.

“Dari awal lagi, dalam pemikiran Nik Aziz, penggantinya ialah seorang agamawan,” katanya.