Rosmah seru pengundi tak ikut emosi 9 Mei ini

Datin Seri Rosmah Mansor berkata untuk jamin masa depan, pilihlah Barisan Nasional. (Gambar AFP)

PEKAN: Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini meminta pengundi agar tidak bertindak mengikut emosi serta berfikir dengan teliti dalam memilih kerajaan pada pilihan raya umum ke-14, Rabu ini.

Berucap di hadapan kira-kira 1,500 wanita dari beberapa tanah rancangan Felda di gugusan Felda Chini, beliau turut memohon mereka memperhalusi buruk baik setiap perkara agar dapat bersama-sama menjadikan Malaysia sebuah negara maju kelak.

“Kalau salah pilih ikut hati… (maklumat) di media sosial itu pula kita telan semua bulat-bulat, kita takkan tahu apa akan jadi 10 tahun akan datang.

“Kalau kita senang kita nak anak-anak kita lagi senang daripada kita, cucu-cucu kita lagi senang, jadi untuk jamin masa depan kita pilihlah Barisan Nasional,” katanya.

Rosmah juga berharap mereka tidak terperdaya dengan dakyah pembangkang yang tidak henti-henti menyerang beliau dan suami Datuk Seri Najib Tun Razak dengan penyebaran berita-berita palsu.

“Mereka hanya nak jatuhkan Najib (tapi) kadang-kadang tak dapat beliau saya pula yang kena,” katanya.

Beliau turut menyifatkan perdana menteri sebagai seorang pemimpin yang sangat bersabar dan sentiasa mengutamakan masa depan rakyat.

“Macam mana penat pun dia akan fikir rancangan untuk rakyat… beliau lagi banyak stres tapi muka dia senyum, beliau tak pernah cakap apa-apa (buruk) pasal orang lain.

“Orang mengata pada beliau macam-macam, tapi beliau macam itulah… sentiasa senyum,” katanya.