Tian Chua nafi rancang pilihan raya kecil di Batu

Rakam layar mesej yang tersebar di WhatsApp.

KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Batu, Tian Chua yang disingkirkan daripada bertanding pada 9 Mei ini, menafikan mesej disebarkan di WhatsApp yang mengatakan calon bebas P Prabakaran akan diminta mengundurkan diri jika menang bagi memberi laluan untuk pilihan raya kecil.

“Mengarut. Apa yang saya katakan adalah saya akan meneruskan petisyen pilihan raya saya dan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mempersoalkan penyingkiran saya,” katanya kepada FMT.

Mesej yang disebarkan di WhatsApp itu mendakwa Prabakaran akan diminta mengundurkan diri jika menang di Batu bagi memberi laluan kepada Tian Chua untuk bertanding pada pilihan raya kecil.

Apabila disoal jika beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara itu, Tian Chua berkata beliau tidak mahu membuang masa dengan dakwaan itu.

Sementara itu, penasihat Prabakaran, M Parameswaran, juga menyangkal dakwaan dalam mesej WhatsApp dan berkata mereka mungkin akan ambil tindakan undang-undang.

Pada 28 Mei, pegawai pengurus pilihan raya, Anwar Mohd Zain menolak borang pencalonan Tian Chua dengan alasan beliau didenda RM2,000 oleh mahkamah atas kesalahan jenayah.

Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan sesiapa bertanding sebagai calon pilihan raya selama 5 tahun selepas dihukum lebih setahun penjara, atau denda melebihi RM2,000.

Tian Chua gagal mencabar penyingkirannya di Mahkamah Tinggi minggu lepas. Beliau kemudian berkata PKR akan menyokong calon berusia 22 tahun, Prabakaran.

Jika Prabakaran menang, beliau akan menjadi ahli Parlimen termuda dalam sejarah Malaysia.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Tian Chua: Pembangkang sokong Prabakaran untuk pertahan Batu